TOYOTA INGIN TAWAN SEGMEN SEDAN DI AMERIKA SYARIKAT
Industri automotif menunjukkan peralihan segmen trak dan SUV bagaikan tiada titik noktah di pasaran Amerika Syarikat (AS).
Pengeluar kereta AS berlumba-lumba menghentikan produksi kereta penumpang (sedan) mereka.
Pengeluar seperti Ford dan Buick telah menghentikan pengeluaran kereta sedan mereka iaitu Fusion serta Regal.
Pada penghujung tahun pula, Lincoln akan mengikuti jejak langkah dua pengeluar tersebut dengan menghentikan pengeluaran model Continental.
Saban tahun, pengeluar Cadillac dan Chevrolet menunjukkan pengecilan tawaran model-model sedan kepada para pelanggan.
Berbeza dengan pengeluar dari Jepun, Toyota melihat perkembangan tersebut sebagai peluang menawan segmen sedan di negara Uncle Sam itu.
Bahkan, Toyota memperluaskan tawaran model sedan di pasaran AS. Baru-baru ini, syarikat terbabit telah mengumumkan model seperti Camry SE 2021 edisi Nightshade dan Avalon XSE 2021, Corolla Apex Edition, Corolla Hibrid, Prius, Avalon serta Camry.
“Amat menakjubkan melihat masih terdapat permintaan terhadap segmen sedan. Kami menjangkakan penjualan mencecah sebanyak 4 juta unit pada tahun 2020.
“Kami sangat gembira dan menganggarkan dapat merebut peluang menjual kira-kira 750,000 unit di pasaran AS,” kata Naib Presiden Pemasaran Toyota Amerika, Cynthia Tenhouse.
Berdasarkan data penjualan kenderaan Toyota pada tahun lalu, pasaran sedan sahaja mencatatkan angka jualan sebanyak 770,000 unit daripada 2.1 juta unit kenderaan setahun. – carscoops.