Advertisements
BuletinPandu Uji

MAZDA 3 SEDNA 1.5 – TAK PERLU 300HP, CUKUP DENGAN ENJIN YANG SUKA MERAUNG

Definisi bahagia setiap orang tidak sama. Ada orang mahukan kereta dengan kuasa enjin yang cukup besar sehingga setiap kali menekan pedal minyak, terasa seperti roh penumpang tertinggal di tempat duduk belakang. Ada pula yang mahukan teknologi canggih seperti sebuah kereta elektrik, lengkap dengan skrin besar, pecutan segera dan pelbagai fungsi digital.

Bagaimana pula dengan penulis?

Penulis cuma mahukan sebuah kereta dengan enjin naturally aspirated (NA) yang seronok diperah, transmisi yang tahu melakukan tugasnya dan bunyi mekanikal enjin yang cukup menghiburkan telinga.

Penulis mahu memandu santai di lebuh raya pada kelajuan sedikit melebihi hadlaju kebangsaan yang dibenarkan supaya tidak mengantuk, sambil menikmati putaran enjin yang semakin tinggi. Itulah kebahagiaan penulis dan juga itulah juga falsafah Zoom-Zoom yang masih kekal dalam sebuah Mazda.

Mungkin cara kami melakukan ujian pandu berbeza daripada orang awam, dimana kami mempunyai keistimewaan untuk menguji kereta dalam tempoh lebih panjang dan melalui pelbagai jenis jalan sebelum membuat kesimpulan.

Sebagai contoh, Mazda CX-5 pernah kami pandu dari Shah Alam sehingga ke Kuantan, kemudian melalui jalan kampung sebelum membuat penilaian. Ujian pandu selama 10 minit mungkin tidak cukup untuk mengenali karakter sebenar sesebuah kereta.

Begitu juga dengan Mazda 3 Sedan 1.5 ini. Perjalanan penulis bermula dari Glenmarie menuju ke Ipoh, kemudian meneruskan perjalanan ke Jitra sebelum berpatah balik. Jarak yang cukup jauh untuk mengenali karakter sebuah sedan segmen C yang pada awalnya mungkin kelihatan seperti sebuah kereta biasa.

Mazda 3 merupakan antara sedan yang mempunyai reka bentuk paling menarik dalam kelasnya walaupun sudah berusia 7 tahun. Bahasa reka bentuk Kodo – Soul of Motion menghasilkan sebuah badan yang kelihatan ringkas tetapi cukup elegan sukar dimamah usia

Bahagian hadapan menampilkan gril besar dengan kemasan krom yang bersambung secara visual dengan lampu utama LED. Reka bentuk lampunya nipis dan tajam, memberikan penampilan yang lebih garang tanpa perlu menggunakan terlalu banyak elemen kosmetik.

Penulis suka bagaimana Mazda mengelakkan penggunaan garis badan yang terlalu agresif. Permukaan badan kereta kelihatan bersih dengan permainan pantulan cahaya pada panel sisi, menjadikan semua garisan sedap dipandang. Mungkin Mazda 3 sedan hanya kelihatan sedikit janggal jika dilihat dari depan berdasarkan pengamatan mata penulis

Bahagian sisi pula mempunyai garis bumbung yang rendah dan mengalir sehingga ke belakang. Nisbah bonet yang panjang bersama kabin yang kelihatan sedikit ke belakang memberikan karakter seperti sebuah kereta pacuan roda belakang, walaupun sebenarnya Mazda 3 menggunakan konfigurasi pacuan roda hadapan.

Bahagian belakang tampil ringkas dengan lampu kombinasi LED berbentuk bulat dan bonet yang pendek. Secara keseluruhan, Mazda 3 Sedan mempunyai penampilan yang bergaya, matang dan tidak terlalu mencuba untuk kelihatan sporty. Take it or leave it.

Mazda 3 Sedan 1.5 menggunakan enjin SKYACTIV-G empat silinder DOHC 16-injap berkapasiti 1,496 cc. Ia merupakan enjin petrol aspirasi normal dengan sistem suntikan terus dan teknologi pemasaan injap berubah yang menghasilkan 118 hp pada 6,000 rpm dan tork maksimum 153 Nm pada 4,000 rpm.

Kuasa disalurkan kepada roda hadapan melalui transmisi automatik SKYACTIV-DRIVE enam kelajuan. Angka 118 hp mungkin kedengaran biasa sahaja pada zaman kereta turbo dan elektrik yang menawarkan kuasa jauh lebih tinggi. Namun penulis tidak melihat angka tersebut sebagai kelemahan mutlak.

Tetapi enjin aspirasi normal tnpa turbo enjin ini memang memerlukan sedikit kesabaran. Kalau mahu memotong kenderaan di hadapan, jangan sekadar menekan pedal minyak separuh jalan dan mengharapkan keajaiban berlaku.

Berikan sedikit arahan kepada transmisi, biarkan gear turun dan benarkan enjin bekerja pada putaran lebih tinggi. Berbeza dengan varian 2.0 yang menggunakan final ratio 3.8, varian 1.5 datang dengan ratio yang lebih agresif pada 4.6 yang membantu respon enjin terasa lebih hidup.

Apabila pedal minyak ditekan dengan lebih agresif, jarum RPM akan bergerak menuju ke kawasan 6,000 hingga 7,000 rpm. Enjin ini memang suka bekerja keras dan karakter tersebut menjadikan pengalaman pemanduan lebih menyeronokkan.

Pecutan Mazda 3 bukan jenis yang akan membuatkan kepala penumpang terhentak pada penyandar kerusi. Sebaliknya, kuasa disampaikan secara progresif dan linear. Ia mungkin mengambil sedikit masa untuk mencapai kelajuan yang diinginkan, tetapi enjin ini tidak keberatan untuk terus bekerja pada putaran tinggi.

Di sinilah anda akan mula menghargai karakter Mazda 3 kerana ia tidak memerlukan kuasa 300 hp untuk memberikan kepuasan kepada pemandu. Kadangkala pengalaman mendengar enjin empat silinder NA bekerja keras sudah cukup untuk membuatkan perjalanan jauh terasa lebih menarik.

Transmisi automatik enam kelajuan pula memainkan peranan penting. Ia memberikan pengalaman pemanduan yang lebih konvensional berbanding CVT, dengan pertukaran gear yang lebih jelas dengan melihat jarum meter RPM naik turun dan respon yang sesuai dengan karakter enjin.

Mazda sering bercakap mengenai falsafah Jinba-Ittai, iaitu hubungan harmoni antara pemandu dengan kenderaan. Mazda 3 merupakan antara model yang berjaya menterjemahkan falsafah tersebut dalam sebuah sedan harian untuk kegunaan harian dimana anda tidak perlu memandu laju untuk merasai jiwa Zoom-Zoom Mazda

Sterengnya memberikan rasa kawalan yang meyakinkan dan kereta ini mudah diletakkan mengikut arah yang dikehendaki. Pergerakan badan ketika mengambil selekoh juga terkawal, menjadikan pemandu lebih yakin untuk menikmati jalan berselekoh.

Mazda turut melengkapkan model 3 Sedan dengan teknologi G-Vectoring Control Plus (GVC Plus), yang mengawal penghantaran tork enjin dan membantu kestabilan ketika memasuki serta keluar dari selekoh.

Untuk sistem suspensi, Mazda 3 menggunakan MacPherson strut di hadapan dan torsion beam di belakang. Walaupun bukan menggunakan sistem multi-link yang lebih kompleks, talaan casisnya masih mampu memberikan karakter pengendalian yang sporti namun masih lagi selesa walaupun dipadankan dengan roda aloi 18 inci bersama tayar 215/45 R18 pula melengkapkan pakej pengendalian tersebut.

Paling penting, Mazda 3 bukan sebuah kereta yang hanya menyeronokkan ketika dipandu laju namun menawarkan “jiwa” walaupun anda hanya memandu ke sekolah anak atau ke tempat kerja.

Untuk ruang kabin, pendekatan minimalis Mazda masih menjadi tarikan utama dengan susun atur papan pemuka kelihatan kemas dan tidak dipenuhi terlalu banyak butang atau elemen yang mengganggu perhatian pemandu yang menggunakan kemasan kulit lembut berwarna hitam.

Kedudukan tempat duduk balutan kulit, stereng kulit, tombol gear dan suis mekanikal kawalan utama memberikan suasana seperti sebuah kokpit yang dibina mengikut keperluan pemandu. Skrin infotainmen 10.25 inci melengkapkan sistem hiburan dengan sokongan Apple CarPlay tanpa wayar manakala meter digital 7 inci diapit dengan meter mekanikal

Mazda 3 Sedan turut menawarkan tempat duduk pemandu dengan pelarasan kuasa dan 2 fungsi memori, serta paparan Active Driving Display yang memaparkan maklumat pemanduan pada cermin hadapan yang turut menunjukkan arah pemanduan serta ciri paddleshifter

Untuk keselamatan, model ini dilengkapi tujuh beg udara serta rangkaian teknologi i-Activsense seperti Blind Spot Monitoring, Rear Cross Traffic Alert, Lane Departure WarningLane-Keep Assist dan Mazda Radar Cruise Control yang mengurangkan beban pemandu ketika di lebuhraya

Namun, ada satu perkara yang saya rasa lebih penting daripada beberapa ciri keselesaan lain, iaitu kamera 360 darjah. Ia akan memudahkan pengguna memarkir sedan dengan panjang 4660mm dan lebar 1795mm dengan mudah di kawasan sempi. Tambahan pula, untuk penulis yang memasuki fasa rabun, kamera 360 darjah mungkin lebih berguna berbanding beberapa kelengkapan lain.

Dari sudut praktikaliti, Mazda 3 Sedan menawarkan empat pintu, lima tempat duduk dan ruang kargo sekitar 444 liter. Ruang ini cukup berguna untuk membawa beg pakaian atau barangan keperluan keluarga ketika melakukan perjalanan jauh.

Inilah kelebihan yang tidak dimiliki oleh sebuah Mazda MX-5 Miata. Sebuah Miata merupakan kereta mainan untuk orang dewasa dengan satu dimensi utama, iaitu keseronokan memandu. Mahu menghantar dua orang anak ke sekolah, pergi ke pasar atau membawa barangan keluarga, semuanya memerlukan banyak kompromi.

Mazda 3 pula hadir sebagai penyelesaian yang lebih praktikal. Kita mungkin tidak mendapat pengalaman 100 peratus sama seperti Miata kerana tidak boleh membuka bumbung dan menikmati udara luar, tetapi Mazda 3 masih mampu memberikan sekurang-kurangnya 69.999 peratus keseronokan pemanduan Miata.

Ditambah pula dengan empat pintu, ruang kargo yang besar dan lima tempat duduk, ia menjadikan Mazda 3 sebuah kereta yang lebih mudah untuk hidup bersama setiap hari.

Penulis faham bukan semua orang akan menyukai karakter Mazda 3 Sedan 1.5. Ada yang mungkin merasakan kuasa enjinnya tidak mencukupi, pecutannya tidak cukup pantas atau teknologi yang ditawarkan tidak sehebat pesaing tertentu.

Itu tidak menjadi masalah kerana definisi bahagia setiap orang memang berbeza.

Bagi penulis 118 hp sudah memadai untuk sebuah sedan harian yang tidak memerlukan pecutan yang membuatkan penumpang tertinggal roh di tempat duduk belakang. Penulis cuma mahu sebuah kereta yang memberikan respons memuaskan apabila pedal minyak ditekan, transmisi yang tahu menurunkan gear dan enjin yang tidak keberatan meraung sehingga 7,000 rpm.

Mungkin sebab itulah penulis berasa agak berat hati ketika perlu memulangkan Mazda 3 Sedan ini selepas selesai ujian pandu.

Sepanjang perjalanan dari Glenmarie ke Ipoh, Jitra dan kembali semula, kereta ini berjaya memberikan sesuatu yang semakin sukar dicari dalam dunia automotif moden. Keseronokan memandu tanpa perlu bergantung kepada angka kuasa yang besar atau teknologi yang terlalu kompleks.

Kadangkala, kita tidak memerlukan kereta yang paling pantas. Kita cuma memerlukan kereta yang membuatkan kita tersenyum setiap kali memandu.

Google ads
Back to top button