MITSUBISHI HENTIKAN EKSPORT SUV KE EROPAH. TIADA LAGI OUTLANDER, ASX DAN ECLIPSE CROSS
Pengeluar kereta Jepun, Mitsubishi dilaporkan bakal menghentikan eksport SUV ke negara Eropah pada awal September.
Tindakan drastik itu dijangka akan memberi kesan kepada pengedar-pengedar jenama kenderaan tersebut di benua berkenaan.
Pada bulan lalu, Mitsubishi mengumumkan akan menghentikan operasi di Eropah dan memberi tumpuan di Asia Tenggara.
Mitsubishi berkata akan membekukan pengenalan model-model baharu di benua Eropah.
Menurut sumber AutoNews Europe, syarikat dari Jepun itu akan menghentikan eksport tiga model SUV di pasaran Eropah bermula pada bulan hadapan.
Ia adalah model paling laris di Eropah iaitu Outlander Plug-in Hybrid Electric (PHEV), SUV ASX dan SUV coupe Eclipse Cross.
Kesemua SUV ini merangkumi 64 peratus daripada 53.2 jualan kereta penumpang Mitsubishi dalam tempoh enam bulan pertama pada tahun ini.
Sumber itu menambah import bagi model subkompak Space Star/Mirage yang mencatatkan jualan terbaik di Eropah dan L200 akan diteruskan sehingga akhir tahun 2021.
“Perniagaan tidak dapat diteruskan tanpa model SUV. Pengedar tidak boleh bertahan dengan kereta kecil dan L200,” ujar sumber itu lagi.
Pasti ada penjelasan rasional terhadap tindakan drastik ini. Sumber dalaman memaklumkan pemberhentian model import utama tersebut membolehkan syarikat mengelak daripada membangunkan semula model-model itu dalam memenuhi peraturan baharu pelepasan karbon.
Tidak menghairankan apabila para pengedar Mitsubishi di benua Eropah melahirkan rasa marah terhadap keputusan menghentiikan produk baharu it terutamanya Outlander PHEV.
Mereka juga terpaksa menawarkan diskaun tinggi kepada pelanggan-pelanggan untuk menghabiskan stok sedia ada.
Menurut carscoops, sumber itu menambah Mitsubishi belum membincangkan tentang pampasan kepada para pengedar dan pengimport.
Mereka hanya diberikan notis tiga hari berhubung pengumuman pembekuan model baharu.