Buletin

SISTEM TOYOTA INI ELAK SALAH TEKAN MINYAK DAN BERLANGGAR

Selari dengan perkembangan teknologi, kereta pada hari ini semakin pintar. Terma canggih mungkin tidak memadai untuk menggambarkan bagaimana kereta hari ini bertindak pintar dalam membrek secara automatik misalnya.

Terbaru Toyota Motor Corporation mengumumkan bahawa syarikat telah membangunkan Sistem Sekatan Pelajuan (Acceleration Suppression System) versi terbaharu dan tambahan kepada sistem sedia ada.

Tujuan kedua-duanya ialah supaya dapat meningkatkan lagi pencegahan kemalangan serius dan mengurangkan kerosakan akibat tersalah tekan pedal pemecut (accelerator pedal).

Pada 1 Julai, Toyota melancarkan sistem ini dengan nama Plus Support untuk kereta baharu dan menambah fungsi di dalam Pedal Misapplication Acceleration Control System II untuk dipasang secara kemudian (retrofit) pada kereta sedia ada.

Toyota telah beberapa tahun memperkenalkan teknologi dengan fungsi tersebut.

Pada 2012, Toyota memperkenalkan Sonar Pelepasan Pintar (ICS) untuk kenderan baharu dan sejak 2018 melancarkan Pedal Misapplication Acceleration Control System secara pasang kemudian untuk kenderaan sedia ada di jalanan.

Sistem sedia ada ini membantu mencegah kemalangan yang disebabkan oleh kesalahan penggunaan pedal pemecut ketika sensor mengesan halangan seperti dinding atau kaca.

Menurut data yang disahkan oleh Toyota, ICS membantu mencegah sekitar 70 peratus dari semua kemalangan yang berpotensi terjadi akibat salah penggunaan pedal pemecut.

Namun, teknologi baharu perlu dikembangkan bagi mengurangkan jumlah kemalangan yang masih ada termasuk kemalangan dalam situasi di mana tiada halangan.

Berikut adalah kaedah yang Toyota gunakan dalam pembangunan terbaru sistem tersalah tekan pedal pemecut:

  • Pertama sekali Toyota melihat kemalangan sebenar di mana puncanya disebabkan salah penggunaan pedal pemecut terutama sekali dengan menganalisa situasi apabila pedal pemecut ditekan penuh.
  • Karakteristik situasi tersebut dibandingkan dengan data raya (big data) yang diambil dari kenderaan terhubung Toyota.
  • Toyota mempelajari kes tersalah penggunaan pedal sebenar atau ianya keperluan.
  • Toyota mengenalpasti apabila pemandu perlu benar-benar mempercepatkan pecutan seperti membelok ke kanan atau memecut dari berhenti sepenuhnya dan dengan itu dapat mengetahui dan mengira contoh salah penggunaan pedal pemecut.
  • Ini membolehkan tetapan fungsi dibuat bagi mengurangkan jumlah kemalangan yang disebabkan oleh tersalah penggunaan pedal pemecut dengan mengawal pecutan termasuk situasi tanpa halangan.

Plus Support

  • Untuk kenderaan baharu dengan fungsi ICS.
  • Dilengkapi pada Prius dan Prius PHV dari 1 Julai dan diperkenal secara berperingkat pada model lain.
  • Plus Support diaktifkan secara automatik apabila kenderaan dikunci menggunakan Plus Support Smart Key untuk pemandu yang prihatin mengenai pemanduan. Walaupun tanpa objek halangan, sistem tetap mengenalpasti ‘salah penggunaan pedal pemecut’ dan menyekat pecutan.
  • Sebagai tambahan kepada ICS dengan fungsi pengesanan halangan, menyekat pecutan dan mengaplikasikan brek, Plus Support disasar untuk mengurangkan kerosakan akibat tersalah tekan pedal pemecut.
  • Apabila kenderaan dikunci menggunakan kunci biasa, Plus Support tidak aktif dan kereta boleh digunakan seperti biasa.

Pedal Misapplication Acceleration Control System II

Pedal Misapplication Acceleration Control System II – Perbandingan dengan sistem sebelumnya.
  • Untuk kenderaan sedia dengan pemasangan kemudian.
  • Dipasang pada Prius tanpa ICS yang dibuat dari Disember 2015 dan Jun 2020. Ditawarkan pada lebih banyak model akan datang.
  • Menambah fungi sekatan pecutan pada Pedal Misapplication Acceleration Control System sedia ada. Menyekat pecutan apabila pedal pecutan tersalah tekan dan juga walaupun tanpa objek halangan di depan kenderaan.
  • Sebagai tambahan kepada sistem sedia ada yang menyekat pecutan apabila objek dikesan di depan dan belakang, sistem ini disasar untuk mencegah kemalangan serius dan mengurangkan kemalangan akibat tersalah tekan pedal pemecut sama ada terdapat halangan atau tidak apabila mengundur.
  • Toyota telah menambahbaik konfigurasi sistem mengundur dan menurunkan kos sebanyak 17,600 yen berbanding produk sedia ada.

Dengan menggabungkan fungsi peranti ICS dan Sekatan Pecutan yang dipasang kemudian pada kenderaan sedia ada, Toyota percaya ia dapat mengurangkan lagi jumlah kemalangan serius yang disebabkan oleh kesalahan penggunaan pedal di tempat letak kereta dan kawasan lain.

Ini akan membolehkan pelanggan, terutama yang bimbang tentang kemungkinan berlakunya tersalah penggunaan pedal dapat merasai tahap keselamatan lebih tinggi.

Toyota tidak hanya membangun dan menawarkan teknologi ini untuk kenderaannya sahaja tetapi turut berkongsi secara meluas mengenai logik pengoperasian fungsi Sekatan Pecutan ini dengan pengeluar kenderaan Jepun lain.

BACA: PADA 1978, TOYOTA STARLET KP61 DIPERKENAL DI JEPUN (PACUAN BELAKANG)

BACA: TOYOTA COROLLA SEDAN GR SPORT, RINGKAS BERGAYA

BACA: MAHAL KE KOS SERVIS TOYOTA HILUX?

Google ads
Back to top button