Artikel Pilihan

BERAPA KOS SERVIS TOYOTA VIOS? WAJIB BACA SEBELUM BELI

Toyota Vios memang tidak dinafikan adalah sebuah kereta popular untuk sedan segmen B. Ia lasak, boleh diharap, dan bagi model terbaru tahun 2021 Vios adalah kereta yang menawarkan ciri keselamatan paling banyak berbanding dengan pesaingnya. Kelemahan Vios ialah enjin 1500cc dual VVTi ini hanya menawarkan 105 kuasa kuda sahaja.

Jika anda perlukan sebuah sedan yang tidak semak kepala, Vios adalah pilihan terbaik untuk kegunaan seharian membawa ahli keluarga. Jadi kali ini kami memberi fokus berapakah modal yang diperlukan untuk membela makhluk Vios ini.

1. Toyota menawarkan 3 jenis minyak enjin yang boleh dipilih oleh pengguna samaada minyak mineral, minyak semi sintetik API SNCF 15W-30, minyak sintetik penuh 5W-40 dan pilihan akhir sintetik penuh 0W-20. Semua minyak ini dijual dalam botol 4 liter.

Harga minyak mineral ialah RM 89.50, RM 109.79 bagi minyak semi sintetik, RM 229.79 bagi minyak sintetik penuh 5W-40 dan RM 139.79 bagi minyak sintetik penuh 0W-20. Pada hemat penulis, pengguna yang selalu memandu laju disarankan menggunakan minyak sintetik penuh 5W-40 bagi perlindungan terbaik

Minyak sintetik penuh 0W-20 dicadangkan bagi penjimatan bahan api, minyak mineral pula untuk poket bocor dan jangan sesekali menggunakan minyak masak, minyak dagu atau minyak gamat.

Disebabkan Toyota sangat konservatif, maka pemilik perlu menghantar kereta untuk servis pada 1000km, 5000km, 10,000km dan seterusnya 20,000km.

2. Penapis minyak enjin atau oil filter perlu ditukar setiap 10,000km. Ini bermakna ketika servis 5000km anda tidak perlu menukar penapis minyak enjin yang berharga RM 36.60. Drain plug gasket yang berharga RM 2.80 perlu ditukar setiap kali minyak enjin ditukar.

3. Air Cleaner Filter Element atau penapis udara enjin berharga RM 91.40 seunit dan perlu ditukar setiap 40,000km.

4. Brake Fluid atau minyak brek perlu ditukar setiap 40,000km dengan harga RM 15.50

5. Minyak transmisi CVT pula perlu disalin setiap 80,000km dengan kos RM 218.50. Anda juga perlu menukar Gasket Drain Plug (RM 2.80) dan Gasket Filler Plug (RM3.20)

6. Palam pencucuh Iridium perlu ditukar setiap 100,000km untuk mengekalkan prestasi enjin dengan harga RM 350.00 untuk setiap set.

7. Super Long Life Coolant atau cecair penyejuk enjin perlu ditukar pada 160,000km dan selepas ini ia perlu ditukar setiap 80,000km. Harganya ialah RM 106.50

8. Disebabkan COVID 19, pemilik juga akan dicas RM 14.11 proses disinfeksi setiap kali servis dilakukan. Pencuci cermin depan yang berharga RM 2.70 juga akan dimasukkan dalam tangki pencuci cermin setiap kali servis dibuat.

9. Bagi pad brek, harganya ialah RM 480 per set untuk tayar depan bagi varian G dan E yang menggunakan rim 16 inci. Pad brek bagi varian J yang menggunakan rim 15 inci pula berharga RM 380 per set.

10. Penapis penyaman udara pula boleh ditukar sekiranya sudah tersumbat dengan habuk dengan harga RM 63.00

11. Untuk mengekalkan prestasi enjin, penulis mencadangkan supaya pemilik membeli Injector Cleaner bagi memastikan injap enjin berada dalam keadaan bersih dengan harga RM 54.00. Operasi sistem dual VVTi akan menyebabkan enapan sisa karbon berlaku pada injap kemasukan.

12. Bagi varian G yang menggunakan tayar 195/55 R16, harga bagi satu unit tayar boleh mencecah sehingga RM 300 bagi jenama premium, dan sehingga RM 230 bagi jenama biasa. Varian J yang menggunakan tayar 185/55 R15, harganya adalah sekitar RM 170 bagi jenama biasa.

13. Dari 1000km ke 100,000km, kos keseluruhan servis ialah RM 4,242 sekiranya anda melakukan servis preventive maintainance dengan menggunakan minyak enjin semi sintetik. Kos ini menjadi RM 3,882 sekiranya anda menggunakan minyak mineral sahaja.

Jika anda memilih untuk menggunakan minyak sintetik penuh 0W-20, kos servis akan menjadi RM 4,602. Jika anda memilih untuk menggunakan minyak enjin 5W-40, maka kos keseluruhan akan meningkat menjadi RM 5,682.

Google ads
Back to top button