TOYOTA VIOS GENERASI 4, DILANCAR BULAN 8 2022 DI THAILAND
Sedar tak sedar Toyota Vios generasi ke 3 sekarang telah pun memasuki tahun ke 9 selepas diperkenalkan pada tahun 2013. Model ke 3 ini menyaksikan Toyota telah menaiktaraf enjin, transmisi, aspek keselamatan dan juga memperkenalkan lampu LED depan sebagai usaha memodenkan Vios dan bersaing dengan pelbagai model baru di pasaran.
Tapi pada masa yang sama, Vios juga telah sampai ke penghujung hayatnya. Pesaing lain muncul dengan sistem hibrid dan enjin turbo mencuri sedikit sebanyak bakal pembeli menjadikan Vios jatuh takhta sebagai kereta segmen B terlaris.
Berita baiknya pula ialah Toyota bukan duduk diam saja, tapi secara senyap-senyap telah membangunkan model pengganti Toyota Vios generasi ke empat yang bakal membuat kemunculan pada suku ke 3 2022 di Thailand nanti.
Berikut ialah maklumat awal berkenaan dengan Vios generasi ke 4 yang akan dijual nanti:
1. Model Vios sekarang menggunakan Toyota B Platform dan diposisikan di bawah MC Platform, pacuan depan serta khusus untuk model kompak. Apabila platform ini memasuki sistem produksi Toyota, ia menggunakan Kod XP (40, 90 dan 140) sebagai kod projek.
2. Pada pandangan kami, jika Toyota menggunakan platform TNGA-B bagi model Vios dengan suspensi belakang MultiLink, kos pengeluaran dan harga jualan akan meningkat. Keadaan ini akan memposisikan Vios lebih mahal daripada pesaingnya dan merugikan Toyota.
3. Pilihan yang lebih baik ialah menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture, iaitu platform versi TNGA bagi kegunaan Daihatsu yang lebih murah dan ringkas. Tapi ini tidak bermakna platform ini cap ayam kerana cesi DNGA jauh lebih kuat, lebih tegar dan selamat berbanding dengan platform lama Daihatsu
Disebabkan penggunaan platfom DNGA, maka dikhabarkan kod projek ini akan menggunakan kod D92A, bukan lagi XP. Jadi anda boleh jangkakan Vios kekal menggunakan topang McPherson di depan, torsion beam di belakang tapi Ride&Handling akan lebih baik berbanding model lama.
4. Tapi tahukah anda transmisi D-CVT juga dibangunkan khusus bagi kegunaan platform DNGA walaupun Perodua Myvi berjaya dihasilkan dengan transmisi D-CVT. Maka calon pertama untuk transmisi Vios baru ialah D-CVT dengan beberapa ciri tambahan yang lain seperti unit penukar gear di belakang stering seperti Vios sekarang.
Bergantung pada pasaran, transmisi CVT dengan mode override 7 kelajuan yang sama dengan Vios generasi ke 3 keluaran Aisin mungkin juga akan ditawarkan.
5. Berbalik pada enjin, ada 2 pilihan enjin yang mungkin dipasang pada Vios baru. Pertama enjin 3NR-FE 1200cc Dual VVT-i 4 silinder yang sedang digunakan oleh Yaris Ativ. Enjin 86 kuasa kuda dan 104Nm tork ini dipasang khusus untuk pasaran Thailand di bawah skim Low Cost Green Car.
Calon yang kedua ialah enjin 2NR-FE 1500cc dual VVT-i yang menjana 106 kuasa kuda dan 140Nm tork sama seperti yang digunakan oleh Vios generasi sekarang. Pilihan ke tiga ialah enjin 2NR-VE yang sedang digunakan oleh Myvi, Aruz dan juga Alza baru yang datang dengan ciri Start/Stop.
6. Tapi adakah anda masih ingat bahawa sebelum ini Daihatsu pernah menayangkan sistem hibrid yang dibangunkan oleh mereka. Sistem Daihatsu e-Smart Hybrid dipadankan dengan enjin WA-VEX 3 silinder 1200cc yang digunakan khusus untuk mengecas bateri sistem dari jenis lithium ion sebesar 4.3 Ah.
Bateri ini seterusnya akan menghantar kuasa elektrik kepada motor elektrik yang menghasilkan 105 kuasa kuda dan 170Nm tork, lebih besar daripada kuasa enjin 3 silinder turbo
7. Toyota sendiri pun banyak pilihan sistem hibrid yang dibangunkan oleh mereka termasuk sistem terbaru Toyota Hybrid System ii yang lebih kompak, kecil, ringan dan lengkap dengan 2 motor elektrik sama seperti Honda.
8. Pada pameran automotif Indonesia tahun 2017, Daihatsu pernah menayangkan satu rekabentuk kereta konsep yang dipanggil DN F-Sedan (mungkin Daihatsu New Fastback Sedan). Dari sisi kereta konsep ini menggunakan rekaan fastback di bahagian belakang dengan garisan bumbung dihabiskan pada penghujung bahagian belakang
9. Kereta konsep DN F-Sedan datang dengan panjang 4200cc, jarak antara roda 2510mm, lebar 1430mm dan lebar 1690mm. Tapi untuk menghasilkan kereta tanpa Tiang B sama seperti kereta konsep ini adalah mustahil dan tidak ekonomik
10. Bagi mengekalkan tahap keselamatan yang tinggi, Vios perlu datang dengan pakej Toyota Safety Sense yang lengkap dengan amaran pra-perlanggaran, brek kecemasan automatik, lane keep assist, sistem pemanduan adaptif dan juga ciri Auto High Beam
Untuk pasaran Malaysia, kemungkinan besar kita akan melihat model ini akan mulai dijual bermula pada tahun 2023 nanti. Kalau mereka tidak memperkenalkan sistem hibrid sama seperti yang dibuat oleh Honda, maka kedudukan Vios sebagai model sedan bukan nasional paling laris akan terjejas.