Buletin

TOYOTA YARIS CROSS GR SPORT DAN Z ADVENTURE 2023 KINI DI JEPUN. VARIAN PETROL DAN HIBRID, BERMULA RM77K

Toyota mengembangkan tawaran Yaris Cross di pasaran Jepun menerusi varian GR Sport dan Z Adventure. Versi GR Sport menyuntik rasa sporty pada crossover kecil itu dengan kemas kini visual dan pengendalian. Manakala Yaris Cross Z Adventure memberi penekanan terhadap penampilan luarannya.

Yaris Cross GR Sport akan menjadikan varian lebih sporty yang boleh dibeli memandangkan Toyota tidak bercadang menawarkan varian GR sepenuhnya ke atas jentera tersebut.

Secara visual, Yaris Cross GR Sport dibezakan dengan lambang Gazoo Racing pada jeriji dan pintu belakang. Ia juga dipasang dengan rim aluminium bersaiz 18 inci yang dibalut tayar Falken FK510 SUV, bersama apron depan dan belakang yang direka semula.

Lebih penting lagi, ciri pengendalian jentera berkenaan telah ditambah baik untuk memberikan pengalaman pemanduan lebih mantap berbanding Yaris Cross standard. Ini melibatkan pemasangan pendakap di bahagian bawah lantai untuk meningkatkan aspek ketegaran, 10mm lebih rendah, sistem stereng elektrik yang lebih jitu.

Untuk bahagian dalaman pula, ia menawarkan ciri tempat duduk yang sporty dengan upholsteri kulit sintetik, kemasan metalik gelap, pedal aluminium dan logo GR pada stereng dan penghadang kepala.

Jentera itu hadir dengan sistem hibrid bersama enjin 1.5 liter berkuasa 118hp.

Toyota Yaris Cross Z Adventure diperkenalkan di Eropah pada tahun 2021. Antara perubahan yang diterima ialah skid plate aluminium pada bampar hadapan dan belakang, rim bersaiz 18 inci dan roof rails. Ruang kabin pula tampil lebih mewah gabungan upholsterikulit sintetik dan berwarna gelap.

Perubahan visual yang kecil pada bahagian dalaman dan luaran membuatkan Yaris Cross kelihatan lebih lasak, walaupun aspek mekanikal langsung tidak berubah berbanding model standard. Crossover tersebut didatangkan dengan sistem pacuan roda hadapan atau semua roda (AWD).

Yaris Cross GR Sport dan Yarris Cross Z adventure sudah boleh dibeli di Jepun pada 8 Ogos dengan harga bermula ¥2,367,000 (RM78,800) versi enjin petrol dan ¥2,750,000 (RM91,500) untuk model hibrid.

Yaris Cross Z adventure pula ditawarkan pada harga bermula dengan harga ¥2,331,000 (RM77,600) dan dan ¥2,936,000 (RM97,700) untuk varian hibrid.

Google ads
Back to top button