
TOYOTA MR2 BUKAN SEKADAR KHABAR ANGIN, MUNGKIN LAHIR SEMULA PADA 2026
Kemunculan semula Toyota MR2 dilihat semakin hampir, walaupun tarikh pelancarannya masih menjadi tanda tanya.
Model sport dua tempat duduk enjin tengah itu sudah lama diperkatakan akan kembali sejak Toyota memperkenalkan konsep Sports EV pada 2021, sebelum disusuli dengan konsep FT-Se yang lebih hampir kepada versi produksi pada 2023.
Walaupun Toyota masih belum membuat sebarang pengumuman rasmi, beberapa petunjuk jelas telah menguatkan spekulasi tersebut.
Pada Disember 2025, media Jepun melaporkan bahawa Toyota telah mendaftarkan tanda dagang nama GR MR2 dan GR MR-S, satu langkah yang biasanya dibuat sebelum pengenalan model baharu.

Berbeza dengan pendekatan sebelum ini – seperti GR86 yang dibangunkan bersama Subaru dan Supra yang berasaskan BMW Z4 – Toyota dipercayai akan membangunkan MR2 baharu sepenuhnya secara dalaman.
Model ini dikatakan menggunakan platform khas, walaupun beberapa komponen mungkin dikongsi dengan model Gazoo Racing (GR) lain.
Petunjuk paling hampir setakat ini datang daripada GR Yaris M Concept yang diperkenalkan pada Januari 2025. Walaupun tampil dengan badan Yaris, jentera itu menempatkan enjin baharu 2.0 liter empat silinder yang dipasang di bahagian tengah.
Prototaip tersebut turut dipertandingkan dalam siri perlumbaan Super Taikyu di Jepun pada penghujung 2025, kononnya bagi menguji potensi teknikalnya.

Seorang pemandu pasukan Toyota Rookie Racing, Hiroaki Ishiura, dilaporkan memberi bayangan bahawa model itu berkait rapat dengan “MR-sesuatu”, sekali gus menguatkan andaian ia adalah ujian awal untuk MR2 generasi baharu.
Pengerusi Toyota, Akio Toyoda, juga tidak menolak kemungkinan tersebut, walaupun menegaskan tiada pengumuman rasmi dibuat setakat ini.
Pada peringkat awal, MR2 generasi baharu dijangka menjadi model elektrik sepenuhnya, selari dengan konsep FT-Se yang digambarkan sebagai kereta sport berprestasi tinggi dalam era neutral karbon. Namun, hala tuju itu mungkin berubah.
Toyota kini sedang membangunkan enjin 2.0 liter baharu yang direka untuk menyokong sistem hibrid ringan dan hibrid penuh.
Enjin inilah yang digunakan pada GR Yaris M Concept dan dijangka menjadi nadi kepada beberapa model GR akan datang, termasuk Celica baharu.
Laporan dari Jepun mendakwa enjin tersebut mampu menghasilkan sehingga 400hp, menjadikan kemungkinan prestasi tinggi untuk MR2 sesuatu yang tidak mustahil.
Selain itu, MR2 baharu dijangka menggunakan sistem pacuan semua roda, dengan pilihan transmisi manual enam kelajuan atau automatik lapan kelajuan jenis penukar tork.
Walaupun transmisi automatik mungkin kedengaran kurang ‘sporty’, prestasinya pada GR Yaris sebelum ini membuktikan ia mampu memberikan pengalaman pemanduan yang sangat meyakinkan.
Buat masa ini, semua maklumat masih berasaskan laporan dan petunjuk tidak rasmi. Namun, ramai pemerhati industri menjangkakan tahun 2026 sebagai waktu paling munasabah untuk kemunculan Toyota MR2 baharu.
Sama ada jangkaan itu tepat atau tidak, satu perkara pasti – peminat kereta sport klasik Toyota semakin hampir untuk melihat legenda itu kembali ke jalan raya.






