Buletin

MUSNAHKAN TOYOTA MR2 GENERASI PERTAMA, MYTHBUSTERS JR. TERUK DIKECAM NETIZEN

Disiarkan pada awal bulan lalu di Discovery Channel, MythBusters Jr yang dihoskan oleh Adam Savage dan sekumpulan kanak-kanak memaparkan bagaimana mereka melakukan pelbagai eksperimen sains yang mengujakan.

Tetapi, stunt mereka kali ini dikecam hebat oleh netizen. Ini kerana mereka telah post satu klip video gerak perlahan ke laman Facebook yang menyaksikan sebuah Toyota MR2 generasi pertama dipenyek dengan blok domino gergasi.

Dalam banyak-banyak kereta, kau pilih Toyota MR2? Sudahlah kereta ini semakin kurang dan harganya makin naik menggila.

Sebab itulah peminat jentera klasik tersebut berpusu-pusu masuk ke laman Facebook dan menghentam mereka.

Eksperimen itu mudah sahaja, pasukan ‘saintis’ itu membina set domino yang bermula dengan blok kecil dan diakhiri oleh blok batu seberat 3.1 tan. Dengan batu seberat itu, apa jua jenis kereta boleh menjadi leper apabila dihempapnya.

Sebagai sebuah kereta props, ia biasanya dibeli daripada penjual persendirian atau tempat jual barang buruk.

Video pendek itu menerima lebih 700 komen yang datang daripada peminat MR2. Mereka nyata geram dengan tindakan ‘kurang sensitif’ tersebut.

Antara komen yang ditulis ialah “Memusnahkan MR2 adalah satu jenayah.” “Saya rasa sangat bengang dan marah.” “Jadi anda memang suka membuatkan peminat kereta dan rancangan ini marah?” “Adakah Myhbusters memang bencikan kereta yang hebat?” dan “OH TUHAN, LAIN KALI SILA PILIH CAMRY”.

Tulis Anthony Litterilla pula: “Anda memang perlukan penasihat kereta. Anda telah membunuh sebuah MR2 tanpa sebab. Saya yakin ada banyak Ford Probe, Nissan Juke atau Pontiac Aztec yang boleh anda musnahkan. Selamatkan kereta klasik!”

“Saya menangis apabila melihat sebuah kereta klasik yang hebat diperlakukan sebegini rupa,” tulis Richard Adams.  

Ini bukanlah kali pertama produksi Mythbusters memusnahkan kereta. Sebelum ini, kereta seperti Chevrolet Impala dan Porsche 928 pernah menjadi mangsa mereka. Dalam satu temuramah, hosnya iaitu Savage dan Jamie Hyneman mempertahankan tindakan mereka itu.

Kata mereka, jika hendak guna kereta di set penggambaran, lebih baik beli kereta yang boleh berjalan daripada kereta yang sentiasa rosak.

Apa pun alasan mereka dan walaupun MR2 itu sudah tidak boleh bergerak, pasti ada banyak alat ganti yang masih boleh digunakan untuk tujuan restorasi.  

Lain kali, gunalah kereta lain. Memang sakit hati tengok…

Google ads
Back to top button