Buletin

TOYOTA UK ‘TUTUP BUKU’ GT86

Selepas sembilan tahun bertapak di United Kingdom (UK), Toyota secara rasmi memberhentikan model GT86.

Pengeluar Jepun itu baharu sahaja menjual model unit terakhir di negara terbabit dan ia merekodkan jualan sebanyak 7,500 unit sepanjang berkelana di UK.

Projek jentera tersebut mula dibincangkan pada tahun 2005 apabila Toyota dan Subaru mencari kereta yang mampu memberi simbolik kepada kerjasama dua pengeluar terkenal itu.

Kedua syarikat mengambil keputusan membangunkan sebuah kereta sport pada tahun berikutnya dengan dibimbing Presiden Toyota Akio Toyoda.

Direka untuk menjadi sebuah kereta yang ringkas dan menyeronokkan, kereta hasil daripada kerjasama Toyota dan Subaru itu muncul pada Tokyo Motor Show 2011 dengan nama yang merujuk kepada jentera 2000GT dan AE86 Corolla serta GT86.

Ia mendapat khidmat enjin boxer empat silinder 2.0 liter dibekalkan oleh Subaru yang digunakan pada jentera BRZ terdahulu.

Jentera berkenaan mampu menjana kuasa mencecah 200 hp dipadankan transmisi manual enam kelajuan atau automatik.

Toyota GT86 dan BRZ telah memenangi beberapa anugerah termasuk Car Of The Year majalah Top Gear.

Bagi meraikan ‘perpisahan’ tersebut, Toyota UK membikin sebuah video memaparkan aksi drift jentera sport pacuan roda belakang itu. – carscoops

Google ads
Back to top button