Buletin

TOYOTA INNOVA 2021 DILANCARKAN. 3 VARIAN, CIRI VTS, BERMULA RM112K

UMW Toyota Motor hari ini melancarkan Toyota Innova 2021 yang hadir dengan beberapa penambahbaikan dari segi penampilan dan sistem keselamatan terbaik.

Innova 2021 ditawarkan dalam tiga varian:

  • Toyota Innova 2.0X — bermula RM129,677
  • Toyota Innova 2.0G — bermula RM121,483
  • Toyota innova 2.0E — bermula RM111,622

Terdapat enam pilihan warna iaitu perak metalik, hitam, coklat, perak, putih dan Bronze Mica Metallic. Bagi varian Innova 2.0X warna merah baharu turut ditawarkan.

Perubahan kecil telah dibuat ke atas Innova 2021 untuk menjadikannya lebih segar. Gril kini dilengkapi kemasan krom dan hitam. Perumah cermin sisi diberikan warna krom. Lampu kabus dan rekaan dalamannya direka semula untuk menjadikan wajah depan lebih menonjol.

Pakej Enhancement ditawarkan untuk Innova 2.0X. Pakej itu merangkumi arca roda rekaan baharu, pelapik sisi badan baru serta skirting untuk gayaan lebih sporty.

Di belakang, kemasan pada pintu memberi kesan visual lebih lebar. Manakala spoilerpada bumbungnya (Innova 2.0X) juga diprofilkan semula supaya lebih aerodinamik.

Perincian rim masih dikekalkan. Innova 2.0X dilengkapi rim aloi 17 inci dengan penyudah warna Dark Grey Metallic yang dibalut tayar bersaiz 215/55R17. Bagi Innova 2.0G dan 2.0E pula, rim aloi bersaiz 16-inci dua tona kini tampil lebih segar dengan tayar 205/65R16.

Varian Innova 2.0X dan 2.0G didatangkan dengan meter Optitron berkualiti tinggi pada panel instrumen. Ia menjadikan paparan lebih jelas dan mudah dilihat dalam semua keadaan.

Paparan Multi Information Display (MID) 4.2 inci juga tersedia untuk memberi maklumat pemanduan lain seperti baki minyak dan sebagainya.

Bagi memenuhi maklum balas pelanggan, lebih banyak slot pengecas USB disediakan. Di depan, terdapat dua slot berkenaan diposisikan semula pada bahagian papan pemuka (dahulu di konsol tengah) dengan satu slot tambahan untuk kerusi barisan ketiga.

Semuanya datang dengan ciri pengecasan pantas bagi peranti yang serasi dengannya. Sebagai tambahan, pengecas tanpa wayar turut disediakan di konsol tengah, sebagai ciri pilihan untuk semua varian.

Bagi tahun 2021, beberapa ciri tambahan lain turut diperkenalkan. Pertama, Peninjau Titik Buta (BSM) dengan Amaran Lintasan Trafik di Belakang (RCTA) kini standard pada Innova 2.0X dan 2.0G dan ditawarkan sebagai pilihan bagi varian 2.0E.

Sistem ini menggunakan sensor pada badan dan bampar kenderaan untuk mengesan kenderaan lain yang berada di titik buta atau berdekatan, dari segenap sisi mahupun ketika mengundur dari ruang letak kereta.

Turut melengkapi Innova 2.0X dan 2.0G ialah Peninjau Pandangan Panoramik (PVM). Ciri ini menggunakan kamera pada badan kenderaan untuk mendapatkan imej sekeliling 360-darjah.

Pemandu boleh memanfaatkan ciri ini untuk meninjau persekitaran kenderaan dan menghindar sekiranya ada halangan. PVM sangat berguna untuk memerhati ruang letak kenderaan yang sempit.

Semua varian Innova dilengkapi tujuh beg udara SRS. Semua tempat duduk barisan ketiga mempunyai tali keledar 3 poin dengan regangan automatik.

Selain itu, ABS dengan Agihan Daya Brek Elektronik (EBD) dan Bantuan Brek (BA) serta Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dan Kawalan Bantuan Mula Mendaki (HAC) juga standard.

Sistem keselamatan yang menyeluruh itu membolehkan Innova menerima penarafan maksimum 5-bintang ASEAN NCAP. Turut menyumbang kepada hal ini ialah struktur badan kukuh yang tahan terhadap hentaman dan mampu menyerap tenaga dengan baik untuk meminimumkan kecederaan penumpang.

Selain sistem keselamatan elektronik yang ada, satu lagi perkara yang melegakan untuk pemilik ialah pemasangan Sistem Telematik Kenderaan Toyota (VTS) sebagai ciri standard bagi varian Innova 2.0X dan 2.0G, manakala pilihan untuk 2.0E.

Sistem ini membolehkan kenderaan dijejaki menggunakan teknologi GPS dan GSM. Sekiranya kenderaan dicuri, Pusat Kawalan VTS boleh mengenal pasti kedudukannya dengan segera dan memaklumkan terus pihak berkuasa untuk tindakan pantas.

Innova terus menggunakan khidmat enjin 2.0 liter DOHC empat-silinder 16-injap VVT- i petrol yang jimat dan torquey. Dengan pembakaran yang lebih cekap, enjin berkenaan menghasilkan 139PS pada 5,600 rpm dan tork 183 Nm tork pada 4,000rpm.

Kuasa itu disalurkan ke roda belakang menggunakan transmisi automatik Super ECT elektronik enam kelajuan.

Juga sama seperti semua model lain keluaran UMWT, Innova diberikan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan, tertakluk kepada terma dan syarat.

Maklumat lanjut, sila layari laman web: www.toyota.com.my atau hubungi talian bebas tol Toyota 1800-8-TOYOTA (869682).

GALERI

Google ads
Back to top button