Buletin

UMW TOYOTA LANCAR FORTUNER 2021. 2 VARIAN, TSS, BERMULA RM172,244 SEUNIT

UMW Toyota Motor sudah memulakan jualan Toyota Fortuner 2021 yang menerima pelbagai bentuk penambahbaikan melibatkan aspek penampilan, prestasi serta keselamatan. Pada masa sama mengekalkan ciri-ciri yang menjadikannya SUV popular di negara ini.

Dua varian ditawarkan:

  • Toyota Fortuner 2.8 VRZ – bermula RM203,183
  • Toyota Fortuner 2.7 SRZ – bermula RM172,244

Fortuner 2.8 VRZ 4×4 A/T ialah varian baru yang menggantikan Fortuner 2.4 VRZ. Ia dikuasakan oleh enjin 2.8 liter turbodiesel yang dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan dan pacuan empat roda.

Enjin berkenaan didatangkan dengan ciri  variable nozzle turbocharger (VNT) tahan lasak dengan intercooler. Ia mampu menghasilkan kuasa 204PS pada 3,000-3,400rpm dan tork 500 Nm seawal 1,600 rpm hingga 2,800rpm.

Fortuner didatangkan dengan Kawalan Aliran Bolehubah (VFC) pada stereng kuasa. Sistem itu membantu menjimatkan minyak dengan mengurangkan beban tork pada pam stereng kuasa.

Jurutera Toyota telah memperbaiki rasa stereng untuk memberikan kendalian natural yang sepadan dengan kelajuan semasa. Bagi Fortuner 2.8 VRZ, mode Sport menjanjikan maklum balas stereng yang lebih mantap.

Sistem pacuan 4×4 pula menyediakan kemampuan maksimum di atas semua permukaan jalan. Dengan kemampuan shift on-the-fly, pemandu tidak perlu berhenti untuk mengaktifkan pacuan 4×4. Hanya pusing tombol dengan mudah.

Toyota Fortuner 2.7 SRZ pula menggunakan enjin 2.7 liter petrol bersama transmisi automatik enam dan pacuan 4×4.

Fortuner 2.8 VRZ tersebut hadir dengan warna baharu, Bronze Mica Metallic dan bumbung hitam yang eksklusif. Bumbung itu turut ditawarkan untuk warna putih.

Bahagian hadapan yang dinamik diserlahkan menerusi lampu utama Quad LED dengan gril bercorak mesh di tengah. Lampu lain, bampar hadapan dan belakang juga tampil dengan rekaan baharu. Skid platehadapan diperkemas bagi menyuntik imej lasak pada Fortuner.

Fortuner 2.8 VRZ dibezakan lagi dengan kemasan warna hitam pada tiang A, perumah cermin sisi dan spoiler belakang. Kedua-dua varian yang ada ini dilengkapi rim aloi 18-inci yang diberikan rekaan baru.

Sama seperti penampilan luarannya, ruang kabin Fortuner dengan tiga baris tempat duduk itu menawarkan rekaan yang premium. Ruang kabin Fortuner 2.8 VRZ diberikan rekaan dan warna baru, termasuklah pada balutan tempat duduknya.

Panel instrumen baru menampilkan Multi Information Display (MID) yang diperkemas animasi pemulanya. Lampu ambien pula memberikan kelainan ketika waktu malam, sementara perumah kunci juga diberikan rekaan berbeza.

Bagi keselesaan, Fortuner 2.8 VRZ dan 2.7 SRZ dipasang dengan lampu kabin jenis LED dan cermin pandang belakang elektrokromatik. Tempat duduk pemandu serta penumpang depan kini boleh dilaras lapan-hala secara elektrik. Beberapa slot pengecas USB ada disediakan untuk kegunaan semua.

Konfigurasi tempat duduk boleh ubah membolehkan kapasiti penuh dimanfaatkan jika perlu.

Ketiga-tiga baris yang ada mampu menempatkan penumpang dewasa dengan selesa. Selebihnya, barisan kedua dan ketiga boleh dilipat untuk memberi kelebihan sebagai ruang barangan.

Untuk meningkatkan kestabilan, SUV itu dilengkapi Kawalan Cengkaman Aktif (A-TRC) dan Auto Limited Slip Differential (LSD).

Fortuner juga datang dengan kelengkapan keselamatan yang menyeluruh untuk membantu pemandu menghindari kemalangan. Tidak lupa, rekaan strukturnya juga mampu mengurangkan kecederaan pada penumpang sekiranya terlibat dalam kemalangan.

Kini, selari dengan usaha Toyota untuk mengurangkan kemalangan jalan raya, model terbaru ini dilengkapi dengan Toyota Safety Sense(TSS).

Ia merupakan pakej keselamatan aktif bersepadu yang menggunakan kamera dan radar untuk mengesan kenderaan lain, serta akan mengambil tindakan sepatutnya untuk mengelak kemalangan.

Walaupun TSS ditawarkan pada kebanyakan model Toyota ketika ini, Fortuner hadir dengan ciri-ciri seperti Sistem Pra-Perlanggaran (PCS), Amaran Penukaran Lorong (LDA) dan Kawalan Melayar Radar Dinamik (DRCC) dengan fungsi Yaw Assist.

Yaw Assist akan diaktifkan ketika penukaran lorong dikesan. Kemudian, daya brek tambahan akan dikenakan kepada roda di sebelah dalam untuk membawa kenderaan kembali ke posisi sepatutnya.

Ketika pembelian, pelanggan boleh memasukkan ciri tambahan seperti pengecas tanpa wayar, bukaan pintu belakang dengan gerakan kaki, peninjau pada bumbung serta perakam video digital belakang.

Sama seperti kebanyakan model yang ditawarkan oleh UMW Toyota Motor, Fortuner didatangkan dengan jaminan selama lima tahun tanpa had perbatuan.

Pelanggan juga boleh menikmati jadual penukaran minyak enjin lebih lama untuk enjin diesel dengan Revised Service Package.

Jadual penukaran minyak enjin dilanjutkan kepada setiap 10,000 km atau enam-bulan (mana-mana tiba dahulu), berbanding keperluan sebelum ini iaitu setiap 5,000 km/tiga-bulan.

GALERI

Google ads
Back to top button