Buletin

PEMANDU TOYOTA COROLLA MAUT, KERETA DIHEMPAP KREN DI TAPAK PROJEK ECRL

Seorang penyelia tapak maut selepas keretanya dihempap sebuah kren yang dipercayai mengalami masalah brek di tapak projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kampung Belimbing, Maran kira-kira 60 kilometer dari Kuantan, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh berkata insiden pada 8.45 pagi itu menyebabkan mangsa Mohd Thaariq Asyraf Misbah, 29, dari Masai, Johor, maut di tempat kejadian akibat tersepit di dalam kereta Toyota Corolla yang dipandunya.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila kren itu mengelongsor ke belakang kerana brek tidak berfungsi. Pemandunya yang berusia 48 tahun cuba mengundurkan jentera tersebut di kawasan yang agak bercerun.

Kren itu kemudian melanggar kereta mangsa menyebabkan kenderaan itu terseret ke dalam longkang. Jentera itu kemudian menghempap kereta berkenaan.

Kamarulzaman berkata kejadian berlaku ketika mangsa yang juga bekerja di situ dikatakan sedang meletak kenderaan tersebut yang didaftarkan atas nama sebuah syarikat pembinaan.

Pemandu kren yang berasal dari Gelang Patah, Johor dilaporkan tidak cedera.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Jengka, Maran untuk bedah siasat. Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama

Google ads
Back to top button