Buletin

SUZUKI LANCAR SWIFT FACELIFT DI THAILAND. 2 VARIAN, ENJIN N/A 1.2L, BERMULA RM75,200

Suzuki baru-baru ini melancarkan Swift versi facelift ke pasaran Thailand. Swift generasi ketiga tersebut sebelum ini diperkenalkan di Jepun tahun lalu.  

Jentera kompak itu kini menggunakan enjin aspirasi biasa bersesaran 1.2 liter Dualjet bagi memastikan ia memenuhi piawaian emisi Fasa 2 yang dikenakan oleh kerajaan Thailand.

Enjin yang dipadankan dengan kotak gear CVT itu mampu menjana kuasa sekitar 82PS pada 6,000rpm dan tok 108Nm pada 4,400rpm.

Perubahan yang diterima cukup minimum. Paling ketara ialah bahagian tengah gril hadapan yang kini hadir dengan kemasan krom nipis. Sementara lampu utama dan belakang LED tidak berubah.

Bagi ruang kabin, susun atur papan pemuka dan ciri-ciri lain tetap sama. Antara ciri standard yang diterima ialah stereng kuasa, sistem kemasukan tanpa kunci,  upholsteri fabrik pada tempat duduk, sistem audio asas dan empat unit pembesar suara.

Berbeza dengan model terdahulu, Suzuki Thailand hanya menawarkan dua varian untuk Swift iaitu GL dan GLX. Manakala varian GA dan GLX Navi telah digugurkan.

Varian GL hadir dengan rim besi bersaiz 15 inci. Selain cermin sisi boleh lipat, sistem brek ABS, EBD, ESP, Hill Hold Control, kawalan cengkaman dan sistem melahu.  

Varian GLX pula menerima kemasan kulit pada stereng, lampu isyarat membelok pada cermin sisi, lampu utama LED, rim aloi bersiz 16 inci, skrin sentuh lapan inci dengan ketersambungan Android Auto/Apple Carplay, enam beg udara dan karma undur.

Jentera itu juga dipasang dengan brek cakera berbanding gelendong pada varian GL.

Swift 2021 ditawarkan pada harga 557,000 baht (RM75,200) bagi varian asas GL. Sementara GLX berharga 629,000 baht (RM84,915). Pengguna boleh memilih daripada enam warna iaitu biru, merah, putih, perak, hitam dan kelabu.

GALERI

Google ads
Back to top button