
TOYOTA VIOS GR SPORT. BAYANGAN JENTERA VIOS CHALLENGE, 10-SPEED CVT, RM97,500 SEUNIT
Malam kelmarin, UWM Toyota Motor melancarkan model berprestasi tinggi GR Yaris ke pasaran Malaysia.
Ditawarkan pada harga RM299,000 seunit (tidak termasuk insurans dan cukai jalan), ia mungkin di luar kemampuan ramai orang. Jangan risau, UMW Toyota ada menyediakan satu lagi model istimewa untuk anda.
Terima lah, Toyota Vios GR Sport (Vios GR-S). Ia merupakan model pertama di peringkat global yang dibangunkan di Malaysia menggunakan lencana Gazoo Racing Sport selepas GR Supra dan GR Yaris.

Jentera tersebut dibina hasil pengalaman UMW Toyota Motor selama tiga musim menganjurkan Vios Challenge yang menjadi siri perlumbaan jalanan pertama di Malaysia.
Ia juga merupakan model GR Sport yang pertama dikeluarkan di kilang berteknologi tinggi di Bukit Raja, Klang.
Vios GR-S yang ditawarkan pada harga RM97,500 seunit itu bukan setakat dibezakan dengan lencana GR Sport yang dilekatkan padanya.
Tetapi, sedan itu dipasang dengan aerokit agresif merangkumi bampar hadapan yang mirip GR Yaris, bampar belakang lengkap bersama diffuser, spoiler, skirting dan cermin sisi berwarna hitam.
Penampilan itu disempurnakan lagi dengabn rim aloi 17-inci yang dibalut tayar 205/45R17. Aspek pengendalian pula ditingkatkan menerusi suspensi talaan sport.

Vios GR-S didatangkan dengan transmisi Continuosly Variable Transmission(CVT) 10-kelajuan yang boleh dikendali menggunakan Sports Mode dan paddle shifter. Ia pasti mampu menawarkan pengalaman pemanduan yang lebih mengujakan.
Konfigurasi terbaru CVT juga membolehkan sedan itu menjadi lebih responsif. Tahap RPM dibiarkan tinggi untuk memberi respons pendikit lebih baik secara keseluruhannya, terutama ketika hendak memotong dan mula memecut.
Vios GR-S menawarkan ruang dalaman yang lebih selesa dan tersendiri. Ruang itu hadir dengan tona hitam bersama jahitan benang merah pada kerusi dibalut kulit. Di samping sulaman logo GR pada perehat kepala, stereng tiga jejari, tombol gear dibalut kulit dan alas kaki dengan logo GR.
Butang penghidup enjin diberi logo GR. Sementara panel meter Optitron datang dengan jarum merah. Paparan multi-maklumat pada skrin 4.2 inci juga datang dengan animasi GR.

Jentera itu hanya ditawarkan dalam dua warna iaitu putih mutiara dan merah metalik.
“Ini sebuah model yang sangat istimewa kerana ia dibangunkan di Malaysia, diilhamkan oleh kejayaan perlumbaan Vios Challenge dan menepati semua kriteria yang ingin diwakili oleh jenama GR sebelum layak menyarung lencana GR.
“Dengan Vios GR-S, GR Supra dan GR Yaris yang baru dilancarkan, UMW Toyota Motor kini mempunyai barisan produk yang mantap untuk pasaran tempatandalam pasaran segmen kenderaan prestasi dan sukan permotoran di Malaysia,” kata Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor dan Ketua Pegawai Sukan Permotoran Gazoo Racing Malaysia, Akio Takeyama.
Pertama kali dilancarkan pada Januari 2019, Vios generasi terbaru menjadi sedan entry-level paling laris.

Apa yang dilakukan oleh Toyota terhadap Vios GR-S adalah untuk membawanya ke satu tahap yang baru. Ia bukanlah versi edisi khas yang menerima perubahan kosmetik semata-mata.
Vios GR-S sebaliknya dibangunkan untuk membawa jati diri Gazoo Racing, memberi keterujaan memandu pada harga yang berbaloi. Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum menghasilkan kereta ini agar ia layak menyarung lencana GR.
Untuk harga yang ditawarkan, anda akan mendapat lebih nilai daripada kereta ini.
Walaupun Vios GR-S bukanlah jelmaan sepenuhnya jentera lumpa Vios Challenge, pengalaman luas dalam perlumbaan itu serta pengetahuan teknikal yang diperoleh telah dipindahkan kepadanya.

“Vios GR-S boleh dikatakan sebagai bayangan kepada jentera lumba Vios Challenge. Versi yang diperhalusi bagi jentera lumba berkenaan. Ia bukanlah kereta yang terlalu menumpukan aspek prestasi dan kendalian semata-mata.
“Lebih penting, sedan ini dibangunkan untuk memberikan keseronokan pemanduan di jalan raya,” kata Duta GR dan juara dua kali Vios Challenge, Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel.
Vios GR-S boleh didapati secara eksklusif di semua cawangan GR Garage dan pengedar Toyota yang terlibat dalam Vios Challenge. Maklumat lanjut, layari laman web www.toyota.com.my.
- BACA: GR YARIS RASMI DILANCARKAN DI MALAYSIA. PERFORMANCE PACK EDITION, TERHAD 200 UNIT, RM299K SAHAJA
- BACA: HONDA CITY VS TOYOTA VIOS VS NISSAN ALMERA. MANA LAGI POWER?
- BACA: UMW TOYOTA LANCAR VIOS, YARIS BAHARU. HARGA BERMULA RM71,380
- BACA: TOYOTA GIAT BANGUNKAN BATERI EV. 500KM SEKALI CAJ, PENUH DALAM MASA 10 MINIT, TIADA RISIKO TERBAKAR
GALERI