Buletin

TOYOTA GIAT BANGUNKAN BATERI EV. 500KM SEKALI CAJ, PENUH DALAM MASA 10 MINIT, TIADA RISIKO TERBAKAR

Perjalanan sejauh 500km dengan sekali caj. Caj dari kosong hingga penuh dalam masa hanya 10 minit. Semua ini dapat dilakukan tanpa sebarang isu keselamatan.

Itulah bateri baharu yang bakal diperkenalkan oleh Toyota. Ia bukan sahaja akan memberi perubahan besar kepada kenderaan elektrik (EV), malah keseluruhan industri.

Teknologi tersebut berpotensi untuk menghilangkan segala masalah yang membelenggu kereta elektrik selama ini seperti jarak dan tempoh mengecaj, biasanya dijana oleh bateri lithium-ion.

Kini Toyota merancang untuk menjadi syarikat pertama yang menjual EV dengan bateri solid state. Model prototaip dijangka diperkenalkan tahun depan.

EV yang sedang dibangunkan oleh Toyota didakwa mampu menawarkan jarak lebih dua kali ganda berbanding kereta yang dikuasakan oleh bateri lithium-ion konvensional. Semua itu dapat dicapai tanpa mengorbankan ruang dalaman kenderaan, walaupun pada kereta kompak.

Bateri solid state dijangka menjadi alternatif kepada bateri lithium-ion yang menggunakan penyelesaian elektrolit aqueous. Inovasi baharu itu mengurangkan risiko kebakaran dan berupaya menggandakan kepadatan tenaga.

Toyota dikatakan sudah mempatenkan lebih 1,000 paten melibatkan bateri solid state. Sementara Nissan merancang untuk membangunkan bateri sama menjelang tahun 2028.

Perubahan teknologi baharu bateri juga memberi kesan kepada syarikat-syarikat dalam rantaian bekalan. Syarikat pembuat material automotif kini sedang sibuk untuk membina infrastruktur sewajarnya.

Sebagai contoh, Mitsui Mining and Smelting akan memulakan satu kemudahan perintid yang menghasilkan elektrolit padu untuk bateri.

Kilang produksi yang terletak di Saitama dilapor mampu menghasilkan bertan-tan elektrolit padu setahun bermula tahun depan, cukup untuk memenuhi tempahan bagi kegunaan jentera prototaip.

Google ads
Back to top button