Buletin

GR YARIS RASMI DILANCARKAN DI MALAYSIA. PERFORMANCE PACK EDITION, TERHAD 200 UNIT, RM299K SAHAJA

UMW Toyota Motor akhirnya melancarkan jentera berkuasa tinggi, GR Yaris Performance Pack Edition ke pasaran tempatan.

Ditawarkan pada harga RM299,000 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans komprehensif), GR Yaris Performance Pack Edition dengan unit terhad itu didatangkan dengan plat nombor yang eksklusif.

GR Yaris hadir dalam tiga warna istimewa iaitu putih mutiara, merah dan hitam. Ia memperluaskan lagi rangkaian kenderaan Toyota Gazoo Racing (GR) di Malaysia yang melibatkan GR Supra 3.0 liter dan Vios GR-Sport yang baru dilancarkan. Sekali gus memberikan pelanggan lebih pilihan untuk memiliki model berprestasi Toyota.

Bagi meraikan kehadirannya, UMW Toyota Motor turut menawarkan pakej pembeli terawal. Pelanggan akan menerima beg topi keledar eksklusif, model skala GR Yaris dan mengikuti aktiviti pengalaman memandu GR Yaris 2021 bernilai RM5,000.

Pencabar Perlumbaan Rali Dunia  

GR Yaris merupakan sebuah kereta World Rally Championship (WRC) yang dibina untuk jalan raya. Selain menjadi satu-satunya kereta WRC sah yang boleh dibeli untuk tujuan bukan perlumbaan.

Malah, sebelum pasukan pereka menghasilkan lukisan pertama, bayangan konsepnya adalah untuk membina sebuah jentera WRC.

GR Yaris ialah model homologasi pertama Toyota untuk WRC sejak Celica GT-FOUR yang kali terakhir dihasilkan pada tahun 1999.

Dibangun menggunakan platform unik GA-B terkini (generasi terbaru Yaris hatchback) dan bahagian belakang daripada platform GAC (Corolla dan C- HR), GR Yaris ialah model pertama yang dibina khas oleh GR di Motomachi, Jepun, kemudahan sama yang menghasilkan supercar Lexus LFA.

GR Yaris dibina dengan untuk mewarisi sejarah WRC Toyota sejak tahun 1973 yang memenangi empat anugerah pengeluar dan tiga anugerah kejuaraan untuk pemandunya.

Direka dengan kerjasama pasukan Toyota Gazoo Racing World Rally Team dan Tommi Makinen Racing, di bawah pimpinan ketua pasukan dan legenda WRC Tommi Makinen, GR Yaris mendapat kelebihan dari segi binaan, teknologi dan kepakaran sejak peringkat awal lagi.

Pereka dan jurutera WRC dapat menumpukan perhatian untuk menyempurnakan aspek aerodinamik, agihan berat dan kereta yang ringan, tiga kualiti utama untuk mencapai prestasi dan pengendalian.

Hasilnya ialah garis bumbung lebih rendah untuk meningkatkan prestasi aerodinamik, enjin turbocas 1.6-liter danposisi bateri di but kereta untuk keseimbangan casis yang lebih baik.

Selain kerangka badan tiga pintu daripada material ringan seperti aluminium dan polimer gentian karbon untuk mendapat nisbah kuasa-berat yang mengagumkan.

Platform baharu juga memberi ruang untuk track belakang lebih luas dan sistem suspensi belakang double wishbone.

Penampilan luaran

Bahagian hadapan GR Yaris hadir dengan gril radiator besar yang direka untuk prestasi penyejukan maksimum. Sementara bukaan udara menegak pada sisi bumpar hadapan berfungsi menyejukkan brek.

Belakang GR Yaris mendapat sentuhan rekaan bumbung yang menirus bersama tiang belakang yang disempurnakan dengan spoiler GR yang berperanan meningkatkan down force.

GR Yaris dilengkapi rim aloi 18-inci dengan tayar Michelin Pilot 4S bersaiz 225/40R18, eksklusif untuk Performance Pack Edition. Lencana khas GR juga menghiasi bampar depan, fender depan dan pintu belakang.

Prestasi

Jentera itu dikuasakan oleh enjin tiga-silinder 1,618cc sebaris, DOHC dan intercooler pengecaj turbo. Mampu menjana 261PS pada 6,500rpm dan tork 360Nm pada 3000-4600rpm, ia dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan dengan fungsi i-MT (Intelligent Manual Transmission).

i-MT berupaya mengesan operasi pernukaran gear oleh pemandu dan memadankan dengan kelajuan enjin untuk memberikan penukaran gear yang lancar.

Enjin tersebut mematuhi peraturan WRC 2 dan disifatkan sebagai  enjin tiga silinder paling berkuasa di dunia.

Tombol gear diposisikan sedikit tinggi di konsol tengah dan lebih dekat dengan stereng. Pergerakan penukaran gear juga lebih pendek dan ringan bagi membolehkan pemandu menukar gear dengan pantas.

Menggunakan sistem pacuan empat roda sepenuh masa (GR-Four), GR Yaris menawarkan mod pemanduan Normal, Sport dan Track. Ini adalah yang pertama dibangunkan sejak sistem pacuan empat roda yang ada untuk Toyota GT-4 sekitar 20 tahun lalu.

Sistem GR-Four mengagihkan kuasa antara gandar depan dan belakang melalui gabungan maklum balas serta klac jenis multi-plat yang dikawal secara elektronik.

Dalam mode Normal, tork ialah dalam nisbah 60:40 antara depan dan belakang. Mode Sport menawarkan agihan tork 30:70. Manakala mode Track menyediakan agihan tork 50:50.

Performance Pack Edition menyaksikan GR Yaris dilengkapi limited slip differential (LSD) Torsen.

Material ringan

Hanya seberat 1,280kg dan layak menjadi pesaing dalam kategori featherweight WRC, GR Yaris menggunakan material yang ringan dan kukuh.

Bumbungnya diperbuat daripada material karbon baru yang ditempa (bukan dijalin) dan C-SMC (carbon sheet moulding compound). Bonet, pintu dan but belakang menggunakan aluminium.

Reka bentuk tiga pintu mengurangkan berat sebanyak 24kg. Kepingan keluli nipis pada bahagian sayap dan sisi. Keluli regangan tinggi di bahagian kritikal pula memastikan keteguhan struktur, selain membolehkannya menyerap impak.

Prestasi tersebut turut dipengaruhi oleh reka bentuk enjin, suspensi, brek dan ruang kabin. Suspensi rali yang ditala oleh pasukan Toyota Gazoo Racing World Rally mempunyai geometri dan talaan khas untuk memaksimumkan cengkaman tayar.

Bar anti-oleng depan Performance Edition Pack lebih tebal dengan diameter spring pada suspensi depan ditambah untuk meningkatkan kestabilan. Tugas membrek diserahkan kepada cakera brek dua bahagian berliang bersaiz 356 mm dan angkup GR aluminium merah empat piston di bahagian depan.

Manakala cakera berliang bersaiz 297 mm dengan angkup GR aluminium dua omboh di belakang. GR Yaris juga dilengkapi brek parkir mekanikal.

Ruang Kabin

Bahagian dalam GR Yaris tampil dengan susun atur yang ringkas, elegan dan penuh fungsi. Tempat duduk yang ringan dan sporty itu dibalut kulit berwarna hitam bersama jahitan benang merah.

Seluruh ruang kabin diberi tona hitam dengan kemasan perak pada hendal pintu, corong pendingin hawa dan konsol tengah.

Pedal sports aluminium direka dengan permukaan luas yang memudahkan tugas pernukaran tumit dan kaki antara brek dan pendikit. Kedudukan pedal, sudut pad dan injak telah dikira agar sesuai dengan titik pinggul pemandu bagi mendapatkan kawalan terbaik.

Paparan maklumat terdiri daripada meter analog dan paparan multi-info berwarna TFT 4.2-inci (MID). Penunjuk pacuan semua roda memaparkan agihan kuasa tork dan mode pemanduan yang dipilih untuk sistem GR- FOUR. Ia juga memaparkan kedudukan gear dan monitor tekanan turbo. GR Yaris juga dilengkapi head-up display (HUD).

Skrin sentuh bersaiz 7-inci hadir dengan ciri ketersambungan Apple CarPlay, Android Auto, radio FM, USB, Bluetooth dan sistem audio enam unit pembesar suara.

Turut dipasang ialah ciri pendingin hawa automatik dwi-zon, cermin pandang belakang electrochromic, stereng elektrik berkuasa (EPS), sistem smart entry pintar, butang kuasa dengan lencana GR, dan tingkap berkuasa dengan fungsi automatik buka/tutup dengan Jam Protection.

Sementara itu, sistem penambahbaikan bunyi enjin menghantar bunyi yang menyeronokkan ke dalam kabin bersesuaian dengan pemecutan dan tork yang dikerah.

Keselamatan

Berpandukan kepada tahap keselamatan yang tinggi untuk sebuah kereta WRC, GR Yaris dipasang dengan sistem Vehicle Stability Control (VSC) dan Traction Control (TRC).

VSC dilengkapi mod Pakar yang membolehkan pemandu menyahaktifkannya dengan TRC sekali. Ciri standard lain termasuklah Anti-Lock Braking System (ABS), Brake Assist (BA) dan Eletronic Brake Force Distribution (EBD).

Aspek keselamatan ditingkatkan lagi dengan Toyota Safety Sense (TSS) yang merangkumi PreCrash System (PCS), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC), Lane Departure Alert (LDA), Lane Tracing Assist (LTA) dan Auto High Beam (AHB).

Tidak ketinggalan ialah enam beg SRS, Hill-Start Assist Control (HAC), peringatan tali pinggang depan dan belakang, cermin sisi kawalan automatik dengan lampu signal, pengelap cermin automatik dengan pengesan hujan, perakam video, sensor parkir belakang, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), tali pinggang keselamatan tigapoin dengan Emergency Locking Retractor (ELR) bersama dua pre-tensioners dan force limiters, ISOFIX, alat imobilisasi, siren dan sensor pencerobohan serta filem tinted premium Toyota. Vehicle Telematics System juga ada sebagai aksesori pilihan.

GR Yaris hadir bersama jaminan selama lima tahun dan tanpa had perbatuan (tertakluk terma dan syarat). Dengan pengeluaran terhad  25,000 unit di seluruh dunia dan hanya 200 unit yang diperuntukkan di Malaysia, GR Yaris sangat istimewa dan unik untuk dimiliki.

Jentera itu boleh didapati di semua cawangan GR Garage. Maklumat lanjut,  sila layari laman: web www.toyota.com.my

GALERI

Google ads
Back to top button