Buletin

UMW TOYOTA LANCAR VIOS, YARIS BAHARU. HARGA BERMULA RM71,380

UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. (UMWT) hari ini melancarkan model Vios dan Yaris terbaharu dalam pasaran tempatan.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2019, dua model itu menerima sambutan hangat dengan jualan melebihi 40,000 unit bagi Vios manakala Yaris mencatat 20,000 unit.

Kedua-dua jentera ditawarkan dalam tiga varian 1.5G, 1.5E dan 1.5J sama seperti model terdahulu.

Model Vios terbaharu dijual pada harga bermula RM74,623 manakala Yaris pula RM71,380.

Dari segi luaran, Vios dan Yaris terbaharu ini didatangkan rekaan yang lebih moden, sporty dan elegan.

Dengan struktur badan yang kukuh dan menyerap tenaga, Vios dan Yaris terbaharu ini menerima penarafan maksimum lima bintang oleh ASEAN NCAP

Dilengkapi bampar baharu yang lebih besar, kedua-dua model hadir dengan lampu utama LED dipadankan lampu nyalaan siang serta lampu kabus LED.

Bahagian dalaman masih mengekalkan imej elegan, menawarkan paparan meter Optitron bagi semua varian kecuali 1.5J.

Panel instrumen pula terdiri daripada paparan multi-maklumat (MID) bersaiz 4.2 inci menggunakan skrin TFT (Thin Film Transistor).

Kemasan balutan kulit disediakan bagi beberapa varian, menjadikan kabin lebih premium.

Model terbaharu ini hadir dengan stereng dan tombol gear dibalutikulit, dengan kawasan sekitar panel instrumen digelapkan untuk penampilan yang lebih elegan.

Bagi varian kemasan fabrik pula, corak baharu digunakan untuk membangkitkan visual kasual dan elegan.

Cagak Isofix dengan cangkuk tether juga disediakan untuk pemasangan kerusi keselamatan kanak-kanak.

Teknologi sambungan juga kini lebih baik dengan naik taraf paparan sistem audio 7 inci dipadankan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto (AACP).

Sistem Telematik Kenderaan (VTS) juga datang standard untuk Vios dan Yaris kecuali untuk varian 1.5J (ditawarkan sebagai pilihan).

Selain itu, bagi memudahkan pengguna, jentera ini menawarkan dua slot USB 2.1A dan pengecas tanpa wayar (ditawarkan secara pilihan).

Soket 12V juga masih tersedia untuk kegunaan peranti elektronik lain atau sebagai sumber mengecas tambahan.

Kesemua model mendapat khidmat enjin 1.5 liter dengan transmisi CVT tujuh kelajuan.

Dari aspek keselamatan, model terbaharu kali ini dilengkapi Toyota Safety Sense (TSS) untuk semua varian kecuali 1.5J.

Ia terdiri daripada Sistem Pra-Perlanggaran (PCS) dan Amaran Penukaran Lorong (LDA).

Lain-lain ciri tambahan pada Yaris dan Vios merupakan sistem Isyarat Henti Kecemasan (ESS) yang akan diaktifkan ketika berlaku brek kecemasan.

Ciri-ciri keselamatan standard termasuk tujuh beg udara SRS, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Mula Mendaki (HAC), sistem Peninjau Pemandangan Panoramik (PVM), Peninjau Titik Buta (BSM), dan Amaran Lintasan Trafik di Belakang (RCTA).

Selain itu, semua varian turut didatangkan dengan ABS dan Agihan Daya Brek Elektronik (EBD) serta Bantuan Brek (BA).

Untuk maklumat lanjut, boleh melayari laman web toyota.com.my atau hubungi talian bebas tol Toyota di 1-800-8-TOYOTA (869682).

Google ads
Back to top button