
UMW TOYOTA PERLUAS T-TEP KE 25 INSTITUSI, LABUR RM20 JUTA LATIH 7,000 PELAJAR
UMW Toyota Motor terus memperkukuh peranannya dalam pembangunan bakat teknikal negara dengan memperluaskan Program Pendidikan Teknikal Toyota (T-TEP) ke 25 institusi pendidikan di seluruh Malaysia.
Usaha ini dimeterai melalui satu Memorandum Persefahaman (MoU) yang berlangsung dalam satu majlis rasmi di Le Meridien Kuala Lumpur.
Sejak diperkenalkan pada tahun 1991, T-TEP telah menjadi contoh kukuh kerjasama antara industri dan institusi pendidikan.
Daripada hanya lima institusi rakan kongsi pada peringkat awal, program ini kini merangkumi 25 institusi, lengkap dengan silibus latihan Toyota yang komprehensif serta kemudahan moden seperti simulator enjin hibrid dan elektrik.

Sehingga kini, UMW Toyota Motor telah melaburkan hampir RM20 juta dalam inisiatif ini, membuahkan hasil dengan melahirkan lebih 7,000 graduan berkemahiran tinggi yang bersedia menyahut cabaran industri automotif moden.
Pengarah Eksekutif UMW Toyota Motor, Encik Mohd Shamsor Mohd Zain berkata, “Program T-TEP bukan sekadar mempersiapkan pelajar untuk kerja-kerja teknikal, malah membuka laluan kepada mereka untuk menjadi tenaga profesional dan pemimpin masa depan dalam bidang automotif.”
Tambah beliau, usaha ini sejajar dengan aspirasi Dasar TVET Negara 2030 yang mengutamakan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi dan berdaya saing.
Dengan lebih 100 pusat servis dan tiga kilang pemasangan di Malaysia, UMW Toyota turut menyediakan platform latihan industri yang memberi pendedahan langsung kepada teknologi terkini serta budaya kerja bertaraf dunia.
Ini bukan sahaja memberi nilai tambah kepada pelajar, malah menjadikan mereka lebih bersedia untuk menyertai pasaran kerja.
Program T-TEP mencerminkan semangat Toyota dalam memacu perubahan melalui pendidikan. Di bawah falsafah korporat “Move Your World”, UMW Toyota melihat pelaburan dalam bakat muda sebagai kunci kepada masa depan yang lebih mampan, inklusif dan progresif.
Graduan yang dihasilkan bukan sahaja mahir dari segi teknikal, tetapi turut memiliki daya tahan mental dan keyakinan diri yang tinggi, antara ciri penting dalam membentuk tenaga kerja berimpak tinggi untuk menyokong pertumbuhan ekonomi negara.