
UMWT CATAT JUALAN SEBANYAK 8,500 UNIT PADA OGOS 2024
UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) meneruskan prestasi jualan yang mantap apabila berjaya mencapai jualan sebanyak 8,500 unit pada bulan Ogos 2024.
Jumlah ini menyumbang kepada jualan keseluruhan tahun setakat Ogos 2024 sebanyak 64,000 unit. Tiga model terlaris untuk bulan Ogos adalah Toyota Vios, Toyota Hilux, dan Toyota Corolla Cross, menunjukkan permintaan yang stabil terhadap kenderaan Toyota di Malaysia, merangkumi kategori sedan, pikap, serta SUV.
Bagi memperkuatkan lagi momentum ini, UMWT telah mula mengambil tempahan untuk model-model Toyota Hilux, Fortuner, dan GR86 yang dipertingkatkan pada 16 Ogos 2024.
Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K., berkata, “Fokus kami kekal untuk menyediakan kenderaan yang bukan sahaja memenuhi, malah melebihi jangkaan pelanggan.”

“Prestasi jualan kami pada Ogos 2024 serta penambahbaikan yang dilakukan ke atas tiga model ini mencerminkan komitmen kami untuk menyediakan penyelesaian mobiliti yang memacu inovasi dan kepuasan pelanggan,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada komitmen untuk memperbaiki pengalaman pembelian, UMWT telah memperkenalkan promosi “Move in Harmony” untuk September 2024.
Pembeli kereta boleh menikmati penjimatan promosi besar-besaran, termasuk rebat sehingga RM9,500 untuk Yaris baharu, dengan ansuran bulanan bermula dari RM658 sahaja.
Program Toyota Service Savers juga menawarkan ansuran bulanan serendah RM31, memudahkan para pelanggan menjaga kenderaan mereka.
Perkembangan berkaitan, bagi meneruskan komitmen mereka dalam mempromosikan sukan permotoran di Malaysia, Toyota Gazoo Racing Musim 7 Pusingan 2 akan kembali ke Litar Antarabangsa Sepang Petronas pada 27-29 September 2024.
Acara ini telah menarik penyertaan antarabangsa dari pemandu-pemandu Singapura, Thailand dan India.
Untuk kemudahan peminat, acara ini akan disiarkan secara langsung di pelbagai platform media sosial, termasuk Facebook, YouTube, dan Instagram Toyota Gazoo Racing Malaysia.