
HYUNDAI PALISADE KINI HADIR DENGAN PILIHAN HIBRID
Hyundai terus mara ke hadapan dengan pelancaran generasi kedua Palisade yang dijangka memasuki pasaran Amerika Syarikat hujung tahun ini.
Model tiga baris tempat duduk ini bukan sekadar menerima reka bentuk semula sepenuhnya, ia juga membesar dari segi saiz dengan pertambahan 2.5-inci panjang keseluruhan serta jarak roda bertambah 2.7-inci, menjadikannya lebih lapang dan selesa untuk seisi keluarga.
Untuk varian asas, Palisade kini dilengkapi enjin V6 3.5-liter yang menghasilkan 287hp dan dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan. Ini sedikit berkurangan berbanding enjin 3.8-liter model sebelumnya, namun masih mampu menarik beban sehingga 2,268kg. Pilihan pacuan roda depan atau semua roda masih ditawarkan.

Namun bintang sebenar untuk tahun 2026 ialah kemunculan varian hibrid buat kali pertama dalam barisan Palisade.
Sistem ini menggabungkan enjin turbo 2.5-liter empat silinder dengan dua motor elektrik yang disepadukan dalam transmisi automatik enam kelajuan. Hasilnya, janaan kuasa mencecah 329hp menjadikan ia bukan sekadar jimat bahan api, malah tetap berkeupayaan menarik beban sehingga 1,814kg.
Masuk ke dalam, kabin dilengkapi paparan berkembar 12.3-inci disepadukan kemas dalam papan pemuka, disokong oleh butang fizikal di bawahnya untuk kawalan yang lebih intuitif.

Ciri moden lain termasuklah Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, serta pad pengecasan telefon 15W dengan kipas penyejuk terbina.
Palisade 2026 juga memperkenalkan varian baharu XRT Pro yang lebih lasak, menawarkan naik taraf mekanikal bagi pemanduan luar jalan. Ia juga hadir dalam 10 pilihan warna luaran dan pelbagai jenis upholsteri termasuk fabrik, kulit tiruan, kulit biasa serta Nappa.
Harga rasmi masih belum diumumkan, namun dijangka tidak jauh berbeza dengan model 2025 yang bermula sekitar RM183,000.