Buletin

CONTINENTAL PERKENAL ULTRACONTACT UX7 UNTUK SUV, MULA DIJUAL SUKU KEDUA 2025

Continental Tyres memperkenalkan UltraContact UX7, tayar khusus untuk SUV yang direka bentuk bagi memenuhi keperluan praktikal pemandu SUV di kawasan bandar.

Tayar ini bukan sekadar menawarkan prestasi, ia dibina untuk keyakinan, dengan penekanan terhadap aspek keselamatan, ketahanan dan keselesaan pemanduan.

Dicipta untuk SUV, Diilhamkan oleh Realiti Pemanduan Harian

SUV kini menjadi pilihan ramai, namun fizikalnya yang lebih besar dan berat berbanding kereta biasa menuntut tayar yang benar-benar memahami beban tugasnya.

UltraContact UX7 dibangunkan dengan struktur lebih teguh dan teknologi pintar, supaya ia mampu menampung gaya hidup urban, serta keadaan jalan yang pelbagai – dari tar hingga batu kerikil.

Dengan ciri X-Force Macroblocks, tayar ini memastikan sentuhan maksimum dengan permukaan jalan. Ini memberikan kestabilan yang mantap, terutama ketika mengambil selekoh tajam atau membrek secara tiba-tiba.

Tambahan pula, penggunaan Adaptive Diamond Compound dengan kandungan silika tinggi membantu tayar mencengkam lebih cekap di jalan basah mahupun kering, sambil mengurangkan jarak membrek.

Tidak cukup dengan itu, teknologi Aqua Channel berfungsi mempercepatkan proses saliran air dari tayar, meminimumkan risiko aquaplaning ketika hujan lebat.

Meskipun kebanyakan SUV hari ini lebih banyak digunakan dalam bandar, Continental memahami bahawa pemandu tetap mahukan tayar yang mampu menampung keperluan luar jangka – seperti perjalanan hujung minggu ke luar bandar.

Dengan Robust360 Construction, UX7 dibina dengan struktur bertetulang, rangka karkas yang lebih padat, serta rangkaian polimer tahan lasak bagi mengurangkan risiko keretakan atau kerosakan kecil.

Selain itu, UX7 juga tampil dengan rekaan bunga tayar yang direka khas bagi mengurangkan getaran dan menghalang gangguan bunyi masuk ke dalam kabin.

Teknologi Noisebreaker 3.0 pula memainkan peranan penting dengan ‘mematahkan’ gelombang bunyi, menjadikan perjalanan lebih senyap dan menyenangkan.

UltraContact UX7 akan mula dijual di pasaran bermula suku kedua tahun 2025, dan ditawarkan dalam pelbagai saiz dari 15 hingga 22 inci – sesuai untuk pelbagai jenis SUV termasuk crossover dan model premium.

Ia boleh diperoleh melalui pengedar Continental yang sah serta platform digital seperti Shopee, Lazada dan Touch ‘n Go eWallet.

Google ads
Back to top button