Artikel Pilihan

USIA BUKAN PENGHALANG UNTUK MENIKMATI PEMANDUAN – PESANAN DARI BMW

Kami cukup setuju dengan kenyataan tersebut tapi bila sampai masa dan pemanduan kita akan membahayakan nyawa sendiri dan orang lain, elok kita berhenti memandu. Apa pun BMW telah menghasilkan satu video yang cukup menyentuh hati dan mula ditayangkan di laman Youtube.

Ia mengisahkan seorang warga emas yang ditemani anak lelakinya berada di pejabat pengangkutan jalan untuk menyerahkan kembali lesen memandu beliau sambil mengimbas kembali kenangan dari hari pertama beliau mendapat lesen memandu.

Permulaan video menyaksikan kedua si bapa dan anak berada di hadapan kaunter sebelum nama si bapa dipanggil untuk menyerahkan kembali lesen ke pejabat berkenaan (alah macam JPJ la kalau kat sini).

Penonton kemudian dibawa kembali ke masa lampau dimana beliau baharu sahaja mendapat lesen dan ceritanya berkembang seiring dengan peningkatan usia beliau. Sudah tentu tentu kenangan tersebut turut menampilkan kereta terawal beliau dari keluaran BMW dan bagaimana beliau mengajar anak lelakinya tentang cara memandu dan menikmatinya.

Selepas mengembalikan kembali lesen tersebut keduanya beredar dengan menaiki BMW i4 yang dipandu oleh si anak. Menyedari kesedihan bapanya yang terpaksa berpisah dengan lesen memandu yang dimiliki sekian lama, anak lelaki tersebut mencadangkan ayahnya supaya memandu BMW i4 tersebut di kawasan tertutup. Ia merupakan satu pengalaman memandu baharu buat warga emas dengan kenderaan paling moden keluaran BMW.

Mesej video BMW ini cukup jelas yang peningkatan usia bukannya halangan untuk menikmati keseronokkan pemanduan. Ia dihasilkan dengan cukup teliti dan menyentuh emosi sesiapa sahaja yang menontonnya. Keseronokkan pemanduan juga sebenarnya milik semua tanpa mengira peringkat usia.

Nikmatilah saat-saat indah anda bersama yang tersayang sepanjang kehidupan. Ia mungkin berbeza seiring dengan perkembangan teknologi tapi satu perkara yang pasti, perjalanan kehidupan tidak akan terhenti selagi kita masih bernafas.

Google ads
Back to top button