
VERSI LEBIH GANAS, ASTON MARTIN DBX707 KINI DI MALAYSIA. V8 707PS, BERMULA RM1.09 JUTA SAHAJA
Selepas memperkenalkan SUV mewah Aston Martin DBX di Malaysia pada 2020, Aston Martin Kuala Lumpur hari ini melancarkan pula versi yang lebih ‘ganas’ iaitu DBX707 ke pasaran tempatan.
Untuk makluman, DBX707 merupakan sebuah SUV mewah paling berkuasa dalam segmennya. Jentera berkenaan mampu menjana kuasa sehingga 707PS dan tork maksimum setinggi 900Nm, peningkatan sebanyak 157PS dan 200Nm berbanding DBX standard.
Kuasa tersebut disalurkan sistem pacuan semua roda (AWD) daripada enjin V8 turbo berkembar bersesaran 4.0 liter daripada AMG yang telah ditala semula. Malah, ball bearing pada sistem turbo turut ditukar untuk meningkatkan lagi kuasanya.

Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear automatik 9 kelajuan jenis torque converter yang menggantikan transmisi klac basah bagi disesuaikan peningkatan tork. Sistem LSD juga telah dinaik taraf.
Angka itu membuatkan DBX707 sebagai SUV mewah yang paling berkuasa berbanding Lamborghini Urus (650 PS) dan Bentley Bentayga Speed (635 PS).
Lebih menarik lagi, jentera itu boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.3 saat dan mampu mencatat kelajuan tertinggi 310 km/j. Manakala DBX standard mencatatkan masa pecutan 4.5 saat (0-100km/j) dengan kelajuan tertinggi 291km/j.

Penggunaan bahan api adalah sekitar 14.2 liter bagi setiap 100km.
Memandangkan enjin yang sangat berkuasa itu, sistem brek telah dinaik taraf menerusi cakera seramik karbon bersaiz 420 mm di hadapan dengan angkup brek enam omboh. Roda belakang pula menggunakan cakera bersaiz 390 mm dengan angkup brek empat omboh.
Walaupun reka bentuknya hampir sama dengan DBX, DBX707 tampil sedikit berbeza jika dilihat pada gril hadapan lebih besar yang berfungsi untuk menyejukkan enjin, kotak gear dan brek. Ia juga hadir dengan splitter baru untuk meningkatkan tahap aerodinamik.
Bahagian belakang dipasang dengan diffuser yang sedikit terkeluar dari bampar, selain menggunakan empat tip ekzos lebih besar serta spoiler belakang yang lebih dramatik. Rim pula terdiri daripada unit bersaiz 22 inci sebagai standard dan boleh dinaik taraf kepada saiz 23 inci.

Masuk ke ruang kabin, DBX707 hadir dengan tempat duduk sports bersama 16 larasan dan ciri pemanas. Ia kini lebih banyak menggunakan material gentian karbon terutama pada konsol tengah.
Pemandu dihidangkan dengan kluster meter TFT bersaiz 12.3 inci. Manakala papan pemuka dihuni oleh skrin sentuh berukuran 10.25 inci. Sistem infohibur menawarkan ketersambungan Apple CarPlay, selain ciri kawalan suara dan lampu ambien dengan pilihan 64 warna menjadikan ruang kabin jentera itu semakin mewah.
Nikmati muzik kegemaran anda menerusi sistem audio premium Aston Martin berkuasa 800 dengan 14 unit pembesar suara.
Namun, kosmetik dalaman itu boleh kustom mengikut kemahuan pemiliknya. Ruang but belakang juga agak luas dengan kapasiti mencecah 632 liter. Jika berminat, DBX 707 ditawarkan pada harga bermula RM1.098 juta berbanding RM818,000 untuk DBX. Harus ingat bahawa harga itu tidak termasuk tambahan komponen kustom, cukai dan sebagainya.
- BACA: ASTON MARTIN BERDEPAN MASALAH KEWANGAN. HUTANG CECAH HAMPIR RM5.2 BILION
- BACA: SAFETY CAR F1: KENAPA ASTON MARTIN VANTAGE LEBIH PERLAHAN DARIPADA MERCEDES AMG GT BLACK SERIES?
- BACA: ASTON MARTIN DBX THE ONE EDITION TIBA DI MALAYSIA. RIM 23 INCI, BERMULA RM1.1 JUTA
- BACA: ASTON MARTIN DBX707, SUV DALAM LIGA PALING BERKUASA DI DUNIA!
GALERI



















