Buletin

ASTON MARTIN DBS SUPERLEGGERA SUDAH TIBA DI MALAYSIA – RM2.88 JUTA SEUNIT

Aston Martin Kuala Lumpur baru-baru ini mengumumkan ketibaan jentera terbaharunya, DBS Superleggera ke pasaran tempatan. 

Aston Martin Kuala Lumpur baru-baru ini mengumumkan ketibaan jentera terbaharunya, DBS Superleggera ke pasaran tempatan.

Jentera Super GT yang menggantikan model Vanquish S itu ditawarkan pada harga RM2.88 juta termasuk cukai. 

Ia menggunakan khidmat enjin V12 biturbo bersesaran 5.2 liter yang mampu menyalurkan kuasa 725PS dan tork maksimum 900Nm ke roda belakang.

Dipadankan dengan kotak gear ZF lapan kelajuan, DBS Superleggera boleh memecut dari 0-100km/j dalam masa hanya 3.4 saat dengan kelajuan maksimum 340km/j. 

Dengan keupayaan memecut selaju itu, pastinya DBS Superleggera memerlukan brek lebih besar dan suspensi yang terbaik.

Maka ia menggunakan suspensi jenis double wishbone tempaan pada roda hadapan dan sistem multilink yang sofistikated di belakang. 

Rekaan luarannya meneruskan konsep aerodinamik seperti Aeroblade yang mula diperkenalkan pada model DS11. Sebelum dikembangkan dengan komponen lain seperti diffuser berkembar yang diinspirasikan daripada jentera F1. 

Padanan komponen tersebut memberikan downsforce sehingga 180kg, paling tinggi dalam siri produksi kenderaan Aston Martin setakat ini. 

Ruang kabin pula tampil mewah dengan upholsteri alcantara, tempat duduk prestasi sport Plus dan stereng.

Antara ciri standard yang lain termasuklah ciri kemasukan tanpa kunci, sistem pemantauan tekanan tayar, kamera 360 darjah dan Park Assist. Semua fungsi infohibur dikawal menerusi skrin pada papan pemuka.

Pelanggan diberi dua pilihan rekaan rim iaitu rim tempaan berbentuk Y dan rim tempa jejari berkembar yang ringan. Kedua-duanya bersaiz 21 inci dan dibalut dengan tayar Pirelli yang dibina khas untuk DBS Superleggera.

DBS Superleggera sudah boleh dilihat secara dekat di bilik pameran Aston Martin Kuala Lumpur.  

GALERI

Google ads
Back to top button