Buletin

ZURICH DAN PLUS PERKENAL PELAN INSURANS Z-PROMILES TAKAFUL UNTUK AHLI PLUSMILES

Zurich Malaysia (Zurich) dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bekerjasama bagi memperluaskan perlindungan mobiliti jalan raya melalui penawaran perkhidmatan kepada pelanggan Lebuhraya PLUS. Selain menambah perkhidmatan yang disediakan syarikat konsesi lebuh raya tersebut.

Langkah itu adalah sebahagian daripada inovasi Zurich untuk memberikan ketenangan fikiran kepada pelanggan sepanjang perjalanan melalui pelan-pelan takaful yang direka khusus.

Produk pertama yang diperkenalkan di bawah kerjasama Zurich dan PLUS ini ialah Z-ProMiles Takaful.

“Z-ProMiles Takaful ditawarkan kepada ahli PLUSMiles (program ganjaran PLUS) yang menyediakan Faedah Akibat Kesulitan, Penginapan Hotel dan Elaun Penggantian Kereta sekiranya pelanggan memerlukan perlindungan tambahan semasa dalam perjalanan menggunakan Lebuhraya PLUS.

“Ia merupakan tambahan kepada manfaat kematian akibat kemalangan, hilang upaya kekal akibat kemalangan dan pendapatan hospital akibat kemalangan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Zurich General Takaful, Shamsul Azman.

Z-ProMiles Takaful mudah diakses dan menyediakan perlindungan semasa dalam perjalanan yang membolehkan pelanggan Lebuhraya PLUS yang juga ahli PLUSMiles untuk memilih pelan perlindungan yang sesuai dengan keperluan dan belanjawan mereka.

“Sebagai pengguna jalan raya, kami memahami kegusaran pelanggan jika berlaku kejadian yang tidak diingini ketika berada di jalan raya. Perlindungan kenderaan bermotor adalah pelan jaminan bagi mod pengangkutan kita, tetapi kebanyakan orang tidak dilindungi daripada kejadian yang tidak dijangka seperti apabila berlakunya kerosakan kenderaan di lebuh raya.

“Zurich komited untuk mengurangkan cabaran yang dihadapi oleh pengguna jalan raya sebagai salah satu tanda prihatin kami terhadap pelanggan. Melalui kerjasama dengan PLUS, kami boleh memperkenalkan produk takaful ini melalui aplikasi digital yang mudah. Ini membantu memberikan ketenangan fikiran kepada pelanggan apabila menggunakan rangkaian Lebuhraya PLUS.”

Menurut Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail, pihaknya berpegang kepada prinsip keselamatan jalan raya 3E iaitu Engineering, Enforcement dan Education (Kejuruteraan, Penguatkuasaan dan Pendidikan). Pada masa yang sama, sentiasa mencari rakan strategik dan usaha sama bagi membantu meningkatkan nilai kepada pelanggannya.

“PLUS memacu keselamatan jalan raya melalui pasukan rondaan lebuh raya PLUSRonda, Pusat Pemantauan Trafik, audit keselamatan jalan raya berkala, serta penglibatan dan kerjasama berterusan dengan pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” tambahnya.

Untuk memohon perlindungan Z-ProMiles Takaful, pelanggan Lebuhraya PLUS boleh mendaftar sebagai ahli PLUSMiles melalui Aplikasi PLUS atau layari portal https://pluscare.plus.com.my  dan sertai pelan perlindungan Z-ProMiles Takaful.

Perlindungan Z-ProMiles Takaful meliputi kejadian trafik tertentu di lebuh raya kendalian PLUS iaitu Lebuhraya Utara-Selatan (NSE), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Hubungan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) dan Jambatan Pulau Pinang.

Google ads
Back to top button