Buletin

ASTON MARTIN DBX KINI DI MALAYSIA. ENJIN AMG V8 542HP, RM818K

Aston Martin hari ini melancarkan SUV pertamanya ke pasaran Malaysia, Aston Martin DBX selepas memperkenalkannya di peringkat global tidak lama dahulu.

Sebagai sebuah SUV berprestasi tinggi, Aston Martin memasang enjin sama yang digunakan pada Vantage dan DB11. Enjin AMG V8 berkapasiti 4.0 liter dengan pendesak turbo berkembar itu mampu menjana kuasa 542hp dan tork 700 Nm.

Kuasa itu kemudian disalurkan ke semua roda menerusi transmisi automatik sembilan kelajuan.

Rangkaian kuasa tersebut membolehkan Aston Martin DBX memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.5 saat dengan kelajuan tertinggi dihadkan kepada 291km/j.

Kemantapan pemanduan Aston Martin DBX turut dibantu oleh komponen active differential termasuklah diff tengah aktif dan LSD pada gandar belakang.

Suspensi Aston Martin DBX menggunakan sistem udara adaptif sebagai ciri standard. Ia melibatkan sistem kawalan anti-oleng 48 voltan dan sistem penyerap hentakan adaptif elektronik.

Ini membolehkan DBX mempunyai kedudukan 50mm lebih rendah dan boleh ditinggikan sehingga 45mm berbanding ketinggian asal (190mm) bergantung kepada keperluan pemanduan.

Melihat dari segi luaran, Aston Martin DBX tampil dengan reka bentuk yang kemas. Menurut juruteranya, mereka memastikan jarak antara roda adalah semaksimum mungkin untuk menawarkan ruang kabin lebih luas dan selesa.

Sebab itulah jika dilihat dari jauh Aston Martin DBX mampu memberikan ilusi seperti sebuah kereta sports yang kecil. Pada masa yang sama menyerlahkan bahawa ia merupakan salah sebuah keluarga Aston Martin.

Tidak sah untuk sebuah Aston Martin tanpa garis bumbung yang rendah, diikuti oleh gril hadapan yang besar. Lampu nyalaan siang (DRL) LED diposisikan pada penghujung bampar sementara lampu utama didatangkan dalam bentuk oval.

Bahagian belakang pula diserlahkan dengan lampu yang mengambil inspirasi daripada model Vantage. Manakala rekaan bampar pula tampil agresif dengan kehadiran tip ekzos pada kiri dan kanan, selain diffuser dan skirt sisi yang didatangkan dalam warna hitam.

Menjengah ke ruang kabin, Aston Martin mahu menjadikan DBX salah sebuah tempat yang khas untuk menghabiskan masa. Jadi, rekaan dalaman itu diberikan rasa mewah.

Tempat duduknya dibalut kulit bersama upholsteri Alcantara. Sterengnya yang hadir dengan paddle shifter juga dibalut kulit.

Pemandu boleh mengakses semua informasi, hiburan dan ketersambungan Apple CarPlay melalui skrin sentuh bersaiz 10.25 inci. Manakala skrin kluster digital bersaiz 12.3 inci pula memaparkan segala makluman pemanduan kepada pemandu.

Konsol tengah direka seakan-akan terapung dan menempatkan semua butang kawalan. Bahagian bawahnya pula disediakan ruang untuk anda meletak barang-barang peribadi seperti telefon pintar. Ruang kabin dimewahkan lagi dengan kehadiran bumbung kaca panorama.

Aston Martin membina DBX di kilangnya di St. Athan, Wales. Jika berminat, jentera yang awesome ini boleh anda miliki pada harga RM818,000 (tidak termasuk duti, cukai dan insurans).

GALERI

Google ads
Back to top button