Buletin

ASTON MARTIN DBX707, SUV DALAM LIGA PALING BERKUASA DI DUNIA!

Pada era di sana sini ada SUV, situasi sama seperti kereta sedan juga bakal dan sudah kelihatan. Hari ini kita boleh saksikan SUV berprestasi tinggi setara kereta sport malah SUV turut menyaingi hatchback seperti Ford Puma yang digunakan di dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC).

Apabila ada sebuah pengeluar yang mempamerkan kehebatan kereta mereka, akan ada pengeluar lain menyainginya.

Di pasaran sekarang ada SUV dalam liga 600 hp seperti Lamborghini Urus berkuasa 641 hp, Porsche Cayenne Turbo GT berkuasa 631 hp dan Bentley Bentayga Speed berkuasa 626 hp.

Jika itu belum cukup, SUV buatan Amerika Syarikat seperti Jeep Grand Cherokee Trackhawk dan Dodge Durango SRT Hellcat pula berkuasa 707 hp dan 710 hp!

Ini pula peserta baharu dalam kelompok SUV paling berkuasa di dunia iaitu Aston Martin DBX707

Berapakah kuasa SUV ini? 707 PS (697 hp) dengan tork 900 Nm!

Selain angka 707 yang merujuk kepada kuasa, DBX707 diasaskan daripada SUV pertama Aston Martin, DBX dengan rangkaian kuasa, pengendalian dan gayaan yang dipertingkatkan. 

Sebelum dipertingkatkan sebegini, DBX sudah sedia bagus dengan 3,000 unit jualan pada tahun pertama pengeluaran.

DBX juga menang banyak anugerah seperti SUV Super Tahunan dari Top Gear dan SUV Mewah Terbaik dari Anugerah Kereta GQ.

Enjin 4.0 liter V8 turbo berkembar

Pakej baharu pada enjin V8 DBX berjaya meningkatkan kuasa sebanyak 157 ps dan 200 Nm kepada 707 PS dan 900 Nm.

Di antara perubahan yang dibuat ialah penggunaan pengecas turbo jenis galas bebola (ball bearing) dan talaan semula bagi mendapatkan lebih kuasa dan daya kilas.

Juga baharu ialah transmisi sembilan kelajuan automatik jenis klac basah yang mampu menampung lebih banyak bebanan tork berbanding transmisi automatik jenis penukar kilas (torque converter).

Selain itu, penggunaan transmisi klac basah turut menjadikan penukaran gear lebih pantas. 

Keupayaan memecut DBX707 juga lebih tangkas dengan lonjakan 0 hingga 100 km/j hanya memerlukan 3.3 saat berbanding 4.5 saat yang dicapai DBX V8.

Brek mesti mantap

Seiring dengan tambahan kuasa, daya membrek perlu dipertingkatkan. DBX707 menggunakan Brek Seramik Karbon (CCB) dengan saiz 420 mm di depan dan 390 mm di belakang.

Cakera brek itu dicengkam oleh angkup enam omboh dan secara keseluruhannya berat tidak berpegas (unsprung) turun dengan jumlah yang banyak iaitu 40.5 kg.

Perubahan yang dibuat pada saiz sistem hidraulik dan talaan semula penggalak (booster) mempengaruhi rasa pedal dan respon pembrekan untuk prestasi lebih mantap dan keyakinan pemandu.

Satu lagi faktor penting untuk brek ialah penyejukan dan untuk itu, udara diambil dari saluran penyejukan utama dan bahagian bawah kereta.

Pad brek berprestasi tinggi pula memberikan geseran yang konsisten di dalam pelbagai julat suhu.

Guna LSD jenis elektronik

Daya kilas 900 Nm adalah angka yang tinggi. DBX707 menggunakan pembeza gelincir terhad belakang elektronik (e-diff) versi baharu.

Nisbah pacuan akhir disingkatkan kepada 3.27 berbanding 3.07 pada DBX V8. Impak yang dirasa adalah pada keupayaan pecutan pada gear di bawah selain respon dalam gear yang lebih baik.

Pembahagian daya kilas dari depan ke belakang kekal automatik sepenuhnya dengan keupayaan menghantar 100 peratus daya kilas kepada gandar belakang berdasarkan permintaan (on demand).

Roda 22 inci atau 23 inci

Didatangkan sebagai kelengkapan standard ialah roda saiz 22 inci dengan pilihan jenis Sport atau Ribbon.

Mahu guna saiz lebih besar pun boleh, Aston Martin menawarkan roda aloi saiz 23 inci manakala tayar dengan diameter lebih besar memberikan lebih respon stereng dan kawalan badan kereta lebih baik.

Menariknya Aston Martin memaklumkan ianya turut membantu bagi mendapatkan masa pusingan (lap time) yang lebih baik. 

Suspensi udara

Satu daripada ciri pengendalian sedap DBX707 disumbang oleh sistem suspensi udara.

Sistem ini menggunakan kebuk udara dengan isipadu tiga kali ganda (triple volume) yang membantu DBX V8 menjadi sebuah SUV dengan pengendalian cemerlang di pasaran.

Suspensi DBX707 menggunakan injap redaman baharu dan kalibrasi semula pegas (dynamic spring volume switching) bagi mempertingkatkan kawalan badan kereta dan respon stereng.

Sistem stereng berkuasa elektronik turut dilaras semula bagi mempertingkatkan rasa stereng supaya pemandu dapat merasai beban selekoh yang meningkat dan cengkaman yang ada.

Ada lagi yang dibuat bagi mempertingkatkan pengendalian DBX707 termasuk pada bahagian henjutan (heave), anggul (pitch) semasa membrek kuat dan pecutan dan olengan badan.

Satu lagi bahagian disentuh ialah perubahan pada sistem Kawalan Olengan Aktif Elektronik (eARC) bagi mempertingkatkan ketangkasan dan keseimbangan dinamik badan kereta.

Mod pemanduan pun diubah

Aston Martin telah mengubah mod Dynamic Drive dengan fungsi Race Start dimuatkan pada mod GT Sport dan Sport+ bagi memaksimumkan daya pecutan dari awal pemanduan.

Logik aktif pada kotak penukaran sistem pacuan semua roda juga diubah bagi mendapatkan kawalan lebih harmoni dan jitu di antara komponen pacuan dan sistem penstabilan elektronik (ESP).

Perubahan itu dibuat bagi mendapatkan rasa pemanduan yang lebih natural dan ala kereta sport.

Penampilan luar dan dalam

Dari segi penampilan, memang jelas DBX707 adalah SUV berkuasa tinggi namun tidak dibuat terlampau ekstrem.

Bahagian depan menggunakan gril lebih besar, splitter dan DRL baharu dengan saluran kemasukan udara dan liang penyejukan brek.

Bahagian tepi dipasangkan skirt sisi manakala bahagian belakang tampil dramatik dan mempunyai fungsi aerodinamik.

Tambahan lip pada spoiler mengurangkan angkatan dan meningkatkan kestabilan pada kelajuan tinggi.

Lagi komponen yang menyerlah ialah diffuser besar yang dibuat sepadan dengan empat ekzos kanan dan kiri.

Ekzos besar tersebut bukan setakat gaya tetapi ditala supaya menghasilkan bunyi yang tersendiri.

Memegang badan pemandu dan penumpang ialah kerusi Sport dan jika tidak berkenan, pelangan diberi pilihan kerusi Comfort tanpa sebarang kos tambahan.

Bagaimana dengan harga?

Harga yang sah belum dikongsi Aston Martin dan sebagai rujukan DBX V8 550 Touchronic Auto dijual dari GBP 163,500 (RM928,207).

Pengeluaran DBX707 akan dimulakan pada suku pertama tahun 2022 dan penghantaran pertama dijadual pada awal suku kedua selepas itu. 

BACA: ASTON MARTIN VALKYRIE PELANGGAN PERTAMA DAH SIAP, 1139 HP!

BACA: ASTON MARTIN DBX KINI DI MALAYSIA. ENJIN AMG V8 542HP!

BACA: ASTON MARTIN PERKENAL SIMULATOR AMR-C01. TERHAD 150 UNIT, RM307K!

Google ads
Back to top button