
KETIDAKPASTIAN EKONOMI GLOBAL PUNCA GENEVA INTERNATIONAL MOTOR SHOW 2023 DIBATALKAN
Penganjur pameran kereta Geneva berkata mereka akan membatalkan acara tersebut tahun depan yang berlangsung di bandar Switzerland itu berikutan ketidakpastian situasi ekonomi global.
Geneva International Motor Show (GIMS), acara pameran kenderaan yang telah lama berlangsung dalam kalendar industri automotif telah dibatalkan tiga kali berturut-turut kerana wabak coronavirus, tetapi dijadualkan untuk membuat kemunculan semula pada awal 2023.
Namun dalam mesyuarat di Bern baru-baru ini, penganjur bagaimanapun bersetuju untuk tidak meneruskan acara tersebut. Sebaliknya, mereka akan memberi tumpuan sepenuhnya pada edisi pertama yang telah dirancang di Qatar pada November 2023.

“Disebabkan ketidaktentuan dalam ekonomi global dan geopolitik, selain risiko yang berkaitan dengan wabak, penganjur memutuskan untuk memberi tumpuan secara eksklusif kepada perancangan acara di Doha pada 2023,” kata Maurice Turrettini yang mengetuai yayasan penganjuran persembahan itu.
“Dalam masa yang tidak menentu ini, banyak jenama pengeluar tidak berada dalam kedudukan yang bagik untuk mengambil bahagian dalam pameran di Eropah pada musim sejuk,” jelas Ketua eksekutif GIMS, Sandro Mesquita yang turut menyuarakan kekesalan atas pembatalan itu.
Penganjur bagaimanapun tidak menyatakan rancangan pameran kereta Geneva untuk masa depan. Namun pameran kereta versi Doha akan berlangsung setiap dua tahun, kata mereka.
- BACA: GENEVA MOTOR SHOW 2021 SAH BATAL. PENGELUAR MAHU SERTAI EDISI 2022
- BACA: GENEVA MOTOR SHOW 2021 MUNGKIN DIBATALKAN. PENGANJUR TAK INGIN PINJAM DUIT KERAJAAN
- BACA: PADA 2015 HONDA CIVIC TYPE R (FK2R) DIPERKENAL DI GENEVA, 305HP 400NM
- BACA: MODEL PRODUKSI PERTAMA NISSAN GT-R50 AKAN DIPAMERKAN DI GENEVA 2020





