Buletin

VOLKSWAGEN MAHU JUAL LAMBORGHINI? RAGING BULL DIANGGARKAN BERNILAI RM46 BILION

Ketika industri automotif perlu mengadaptasi perubahan teknologi dan standard baharu, para pengeluar kenderaan dilihat perlu membuat peralihan yang radikal. 

Justeru, Volkswagen mahu lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan. Walaupun jika terpaksa mengubah perniagaan salah satu jenama mewahnya. 

Volkswagen AG kini dilapor sedang menimbang beberapa pilihan terhadap masa depan jenama supercar miliknya, Lamborghini.

Antara pilihan itu adalah untuk menjual sepenuhnya jenama Lamborghini dan tawaran saham awam. Langkah itu diambil selari dengan usaha Volkswagen untuk menggandakan nilai pasarannya kepada AS$220 bilion (RM921 bilion). 

Penjualan Lamborghini kepada pihak ketiga membolehkan Volkswagen AG untuk fokus ke atas jenama utamanya seperti Volkswagen, Audi dan Porsche. Volkswagen AG turut memiliki jenama Bentley, Bugatti, SEAT, Skoda Ducati dan trak Traton yang sahamnya telah ditawarkan menerusi IPO pada tahun 2018.  

Menurut sumber, VW sudahpun memulakan persediaan untuk meletakkan Lamborghini sebagai satu entiti berasingan dan proses itu bakal berlangsung sehingga hujung tahun hadapan. 

Biarpun begitu berjaya di bawah kendalian Volkswagen AG, Lamborghini yang ditubuhkan pada tahun 1963 pernah bertukar tangan sebanyak tiga kali  dan bankrap pada tahun 1978, sebelum dibeli oleh Vw pada tahun 1998. 

Prestasi kewangan Lamborghini semakin positif selepas memperkenalkan SUV berprestasi tinggi Urus pada tahun 2017. Setahun kemudian, angka jualannya naik 50 peratus dengan model-model baharu dijangka mengekalkan momentum positif tersebut. 

Penganalisis meramalkan model Aventador dan Huracan hibrid akan meningkatkan margin keuntungan Lamborghini kepada 30 peratus. 

Google ads
Back to top button