
VOLKSWAGEN MENANG KES TUNTUTAN HAKCIPTA REKA BENTUK BEETLE
Volkswagen Group dilapor memenangi kes tuntutan hak cipta yang diusulkan oleh anak perempuan Erwin Komenda.
Komenda merupakan individu yang bertanggungjawab membantu mereka gayaan asal Volkswagen Beetle.

Anak perempuannya menuntut pampasan ke atas sebahagian daripada reka bentuk Komenda yang berjaya menjadikan Beetle sebuah model ikonik Volkswagen dan diproduksi selama lebih 70 tahun.
Dia diakatakan menuntut pampasan sebanyak 5 juta euro (RM23.6 juta) dan mendakwa rekaan Beetle baharu juga masih menggunakan elemen reka bentuk bapanya. Dalam tempoh tiga generasi, lebih 22 juta unit Beetle berjaya dijual di seluruh dunia.
Sebuah mahkamah di Brunswick, Jerman meneliti lukisan reka bentuk asal Beetla oleh Komenda, tetapi memutuskan ia menggambarkan kenderaan lain pada zaman itu.

Mahkamah juga menyatakaan plaintif gagal membuktikan bahawa bapanya telah mengambil bahagian dalam penggayaan model Kdf Volkswagen.
Kdf ialah model yang menjadi asas kepada Beetle, direka oleh Ferdinand Porsche dan dihasilkan pada tahun 1938.
Dalam satu kenyataan, mahkamah menafikan sebarang tuntutan hak cipta ke atas lukisan Komenda berkaitan rekaan Beetle yang asal.

Komenda yang merupakan warga Austria bekerja dengan Ferdinand Porsche pada tahun 1930-an dan Porsche selepas Perang Dunia Kedua. Dia meninggal dunia pada tahun 1966.
Tahun lalu, Volkswagen mengumumkan ia akan menamatkan pengeluaran Beetle di kilangnya di Puebla, Mexico mulai bulan depan.