Modifikasi

VOLKSWAGEN BEETLE – KERETA SEPANJANG ZAMAN

Kita dari kecil selalu didendangkan dengan lagu rakyat dan cerita rakyat. Biasanya daripada datuk dan nenek kita. Saya masih ingat lagi sewaktu di tadika menyanyi Lagu Tiga Kupang, Pok Amai-Amai dan Rasa Sayang beramai-ramai dengan kawan-kawan. 

Kalau bercerita pula, siapa boleh lupa cerita Sang Kancil dan Pak Pandir? Saya tidak tau lah dengan budak-budak Gen Y sekarang. Mungkin mereka tak pernah dengar pun apa yang ditulis ini. Sebab mereka sejak dari kecil lagi dah disogok dengan cerita Power Rangers. Tapi bagi geng-geng Gen X atau yang lagi senior, anda tentu tau apa saya tulis ni kan?

DSC_9400

Walaupun rakyat Malaysia kaya dengan lagu dan cerita rakyat, kita masih belum ada kereta rakyat yang sebenar. Mungkin Proton Saga generasi pertama atau Perodua Kancil boleh dikategorikan sebagai kereta rakyat Malaysia. Namun pasarannya tidaklah besar dan memang tak boleh lawan kereta rakyat dari Jerman ini. Kereta rakyat yang dimaksudkan tentulah Volkswagen Beetle.

Jika kita baca sejarah, memang busuk insan bernama Adolf Hitler. Tetapi mamat misai kontot ini jugalah yang mengarahkan Dr. Ferdinand Porsche menghasilkan kereta yang mampu dimiliki oleh semua rakyat Jerman ketika itu.

BACA – BEETLE TERPANTAS DI DUNIA!

BACA – VOLVO KLASIK PV444 YANG IKONIK

Masa itu juga lebuh raya Autobhan sedang dibina merentasi Jerman. Jadi agak kelakar dan membazirkan wang rakyat kalau lebuh raya sudah ada, tetapi rakyat cuma naik basikal atau kereta kuda.

Siapa sangka, selepas hampir 70 tahun kereta ini dihasilkan, ia masih popular dan mendapat tempat di hati jutaan peminat di seluruh dunia. Malah musuh utama Jerman masa perang dulu, Amerika pun menggilai kereta Volkswagen ini. Sampai boleh buat filem yang heronya ialah kereta ini. Tak percaya tengok filem “Herbie”.

DSC_9403

Di Malaysia, kereta rakyat dari Jerman ini sudah lama diterima sebagai kereta pilihan keluarga Malaysia pada sekitar tahun 1960-an hinggalah ke awal 1980-an. Kawan  saya, Azhar yang pandu Impreza kuning dan pernah jadi cover majalah KERETA baru-baru ni pun bapa dia ada sebiji, 20 tahun simpan beb baru jual!

Jadi, kereta Beetle biru muda ini memang mengingatkan saya kepada kenangan zaman kanak-kanak di mana kereta macam ini amat senang dijumpai di jalan raya. Sekarang agak susah nak tengok Beetle ini. Bukan sebab ia dah pupus, tapi sudah dijadikan bahan koleksi berharga oleh peminatnya. Saya tidak hairan kalau ada peminat Beetle berbelanja lebih RM80,000 untuk merestorasi dan mengubah suai Beetle mereka.

DSC_9402

Kos restorasi Beetle biru ini mungkin tidak setinggi itu. Namun kerja-kerja restorasinya agak lengkap. Ia masih mengekalkan gaya retro dengan menggunakan aksesori yang sememangnya dihasilkan untuk model Beetle.

Sebelum apa-apa pengubahsuaian dibuat, badan kereta perlu direstorasi terlebih dahulu. Alasannya mudah, kereta ini sudah berusia hampir 50 tahun, sebagus mana pun sesebuah kereta, masalah karat memang tidak boleh dielakkan. Apatah lagi kalau dipandu di Malaysia yang cuacanya memang panas dan lembab sepanjang tahun.

DSC_9404

Segala karat pada badannya dibuang sebelum disembur dengan lapisan cat biru muda yang menyegarkan kembali rupa Beetle klasik ini. Beberapa aksesori krom seperti garnish lampu dan strip di sisi badan kereta ditambah. Bampar depan dan belakang asal Beetle dibaik pulih, dicelup semula dengan lapisan krom baru yang silau mata memandang di bawah terik matahari.

Satu aksesori unik yang dipasang padanya ialah cermin belakang. Kalau anda  perasan, cermin ini boleh ditolak keluar untuk bagi angin masuk ke penumpang belakang. Inilah aksesori original Beetle yang sekarang hanya boleh dibeli di kedai aksesori Beetle di luar negara (kebanyakannya dari Amerika Syarikat atau Britain). Nak beli dari Jerman boleh juga,  tapi reti ke nak tulis e-mel bahasa Jerman?.

DSC_9412

Penambah seri sebenar Beetle ini sudah tentulah rimnya. Rim Beetle ini menggunakan rim Empi Sprintstars berdiameter 15 inci. Empi ialah nama yang cukup terkenal sebagai pembuat aksesori VW Beetle klasik. Sauya fikir, tidak ada rim lain yang menjadi pilihan pemilik Beetle di serata dunia selain rim buatan Empi.

Tayar BF Goodrich bersaiz 195/60 dipilih untuk digandingkan dengan rim yang masih nampak retro tetapi dengan ciri-ciri keselamatan tayar moden. Dalam kata lain, dah tak guna tiub. Beetle ini kemudian direndahkan menggunakan set penyerap hentak Bilstein.

DSC_9417

Bahagian dalaman Beetle semuanya direstorasi mengikut spesifikasi asal dengan sedikit modifikasi. Apa yang paling ketara ialah pemain CD pada bahagian bawah papan pemuka.

Apa yang saya respek, radio AM asal Beetle masih dikekalkan, mungkin untuk kembalikan nostalgia masa silam. Stereng asal masih dikekalkan. Tetapi disolek sedikit  dengan menggantikan butang hon asal kepada butang hon berlogo Wolfsburg – bandar kelahiran Beetle di Jerman.

DSC_9420

Tuil gear Gene Berg digunakan bagi mengganti tuil gear asal. Tetapi tombol gear tetap menggunakan tombol yang asal. Tempat duduk asal hanya dibalut dengan vinyl baru dan mengekalkan rupa aslinya.

Anda mesti tertanya-tanya, kenapa saya tak cerita pasal enjin? Sebab enjinnya  standard tak buat apa-apa, basuh pun tak. Hahaha… Cuma ekzos ada buat sikit, guna paip dan peredam bunyi custom yang menyerlahkan bunyi enjin boxer dengan sistem penyejukan udara.  Anda ingat Subaru sahaja yang guna enjin boxer? Beetle dah guna enjin boxer sejak Hitler masih hidup lagi tau!

[hr] Spesifikasi

Pembuat / Model: Volkswagen Beetle

Enjin: 1,600cc boxer standard

Sistem ekzos: Paip dan peredam bunyi custom

Penyerap hentak: Bilstein

Rim / Tayar: Empi Sprintstars 15” / BF Goodrich 195/60

Dalaman: Restorasi penuh, butang horn Wolfsburg, tuil gear Gene Berg

Luaran: Restorasi penuh, aksesori krom VW, cermin belakang pop-up, pelekat Empi custom

[hr] Galeri

DSC_9418DSC_9407DSC_9406DSC_9393DSC_9410DSC_9415

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button