Buletin

VOLKSWAGEN PASSAT R-LINE SUDAH BOLEH DITEMPAH. HARGA BERMULA RM200K

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) kini sudah menerima pra-tempahan untuk Passat R-Line baharu.

Menjadi model yang lebih sporty daripada Passat Elegance, Passat R-Line dipasang tempatan dan ditawarkan pada harga bermula RM200,000.

Mengambil inspirasi daripada model-model Volkswagen R, ia  merupakan model R-Line kedua yang ditawarkan oleh VPCM selepas Golf R-Line.

Passat R-Line tampil dengan kemasan yang sporty. Terima kasih kepada bampar hadapan dan belakang R-Line baharu, lencana sisi R-Line, kemasan krom dan rim aloi Verona bersaiz 19”.

Untuk ruang dalaman pula, kemasan R-Line dapat dilihat dengan jelas menerusi penggunaan kulit Nappa hitam gayaan karbon pada tempat duduk, stereng dan pedal sports aluminium.

Passat R-Line dikuasakan oleh enjin turbo 2.0TSI baharu yang mampu menjana 190PS dan tork 320Nm.

Ia kemudian dipadankan dengan kotak gear klac berkembar basah direct shift (DSG) 7-kelajuan yang baru dan telah ditambah baik.

Aspek keselamatan dipertingkatkan lagi melalui ciri Side Assist dengan jarak pengesanan 180 darjah sehingga 50 meter.

Ciri Rear Traffic Alert pula memberi amaran kepada pemandu apabila mengundur keluar dari ruang parkir jika terdapat kenderaan yang mendekati pada sudut 90 darjah.

Dari aspek ketersambungan, Passat R-Line dilengkapi sistem infohibur Discover Pro Volkswagen bersama skrin sentuh bersaiz 9.2″ inci.

Ciri-ciri kemudahan termasuklah kawalan suara, gestur, skrin yang boleh dibahagikan kepada tiga bahagian dan Wireless App-Connect dengan Apple Car Play.

Passat R-Line didatangkan dalam enam warna. Warna metalik terdiri daripada biru (Aquamarine Blue), coklat (Tamarind Brown), kelabu (Manganese Grey) dan perak (Reflex Silver).

Dua warna mutiara iaitu hitam (Deep Black) dan putih (Oryx White) turut ditawarkan tanpa sebarang penambahan harga.

Tempahan dan urusan melihat secara dekat boleh dilakukan dalam talian atau di mana-mana pengedar sah Volkswagen di seluruh negara.

Maklumat lanjut, sila layari laman web: www.volkswagen.com.my

GALERI

Google ads
Back to top button