VOLKSWAGEN HASILKAN KOTAK GEAR 1-KELAJUAN LEBIH SENYAP UNTUK EV
Tahap bunyi bising setiap kenderaan samada dari dalam atau luar kabin menjadi salah satu aspek penting bagi pengeluar kereta. Dengan wujudnya kenderaan elektrik (EV) yang dijana dengan kuasa bateri, masalah itu dilihat semakin mencabar.
Tanpa sebarang proses pembakaran di dalam enjin, pengeluar perlu menghasilkan kotak gear, suspensi dan brek yang lebih senyap.
Faham tentang keperluan itu, Volkswagen kini dilapor sedang giat membangunkan kotak gear satu kelajuan yang menjana model EV terbarunya, Volkswagen ID.3. Transmisi itu bakal digunakan pada kebanyakan model EV keluaran Volkswagen.
Bagi memastikan setiap unit kotak gear itu cukup senyap untuk kegunaan EV, Volkswagen menghasilkannya secara berhati-hati di kilangnya di Kassel.
ID.3 diuji bukan sahaja dari aspek janaan kuasa, tahap bunyi yang dihasilkan juga diambil kira. Tindakan ini bagi memastikan setiap unit ID.3 tidak menghasilkan bunyi bising sewaktu pemanduan sebenar.
Kotak gear satu kelajuan itu mempunyai reka bentuk komponen gigi roda yang lebih kecil bagi menggerakkan motor. Penggunaan komponen ini juga menghasilkan kotak gear yang lebih ringan.
Berbanding teknologi konvensional, komponen gigi roda yang digunakan adalah lebih besar dan berpotensi menghasilkan bunyi bising.
Volkswagen melihat kotak gear kompak ini sebagai satu kelebihan kepada kenderaan EV. Tambahan pula, kotak gear ini juga mampu menghasilkan tork yang tinggi pada bacaan rpm yang rendah. Tork yang dihasilkan dapat bertahan dan mencapai kelajuan 160 km/h dengan bacaan rpm pada 16,000.
Model pertama janaan bateri Volkswagen ID itu bakal dipamerkan di Amerika Syarikat pada April 2020. Ia merupakan model yang bakal menggantikan Volkswagen e-Golf di pasaran AS.