Buletin

VOLKSWAGEN TIGUAN ALLSPACE. SUV 7 TEMPAT DUDUK, 2 VARIAN, BERMULA RM165K

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) hari ini melancarkan rangkaian model Tiguan Allspace serba baharu, sebuah SUV menarik yang dijangka memberi impak besar dalam segmen SUV tempatan.

Dua varian ditawarkan: Tiguan Allspace Highline 1.4TSI dan Tiguan Allspace R-Line 2.0TSI. Kedua-duanya dipasang tempatan di kilang Volkswagen di Pekan, Pahang.

Merupakan versi Tiguan dengan tapak roda lebih panjang, Allspace tampil dengan rekaan hadapan dan belakang yang tersendiri.

“Pasaran SUV di Malaysia telah berkembang sebanyak 65% dan kami percaya ia akan terus memacu pasaran automotif.

“Dengan penambahan dua varian Tiguan Allspace, Volkswagen akan dapat memenuhi keperluan pembeli yang berbeza apabila menawarkan mereka dengan pilihan jentera 7 tempat duduk bersama kualiti kejuruteraan Jerman serta prestasi yang tiada tandingan,” kata Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter.

Menjadi model terlaris Volkswagen di peringkat global, Tiguan mencatat rekod apabila lebih 6 juta unit terjual pada tahun 2019.

Ia juga merupakan model paling laris untuk kumpulan Volkswagen pada tahun yang sama. Kini, model serba baharu Tiguan keluar daripada saluran pengeluaran di seluruh dunia pada setiap 35 saat.

Tempahan dan pandu uji boleh dibuat di semua pengedar sah Volkswagen di seluruh negara. Maklumat lanjut, sila layari laman web: www.volkswagen.com.my

TIGUAN ALLSPACE HIGHLINE 1.4TSI

Luaran

Tiguan Allspace Highline serba baharu dilengkapi lampu utama dan lampu belakang LED penuh, rim Kingston 18” serta lampu kabus di hadapan dan belakang.

Dalaman

Banyak ciri astetik dan fungsi boleh didapati pada Tiguan Allspace Highline. Ruang dalamannya hadir dengan upholsteri kulit ‘Vienna’, tempat duduk elektrik 12-talaan untuk pemandu dan sistem pendingin hawa bersama kawalan suhu 3 zon demi keselesaan semua penumpang.

Stereng multi fungsi yang dibalut kulit dengan paddle shifter dan kawalan jelajah membuatkan pemanduan Tiguan Allspace Highline cukup menyeronokkan.

Enjin dan Prestasi

Tiguan Allspace Highline menggabungkan enjin turbo pancitan terus 1.4TSI dengan kotak gear klac basah direct shift 6-kelajuan (DSG). Ia mampu menjana kuasa 150PS dan tork 250Nm. SUV ini juga menawarkan penggunaan bahan api sekitar 7.3l/100km.

Ketersambungan 

Digital Cockpit bersaiz 11.7” dengan paparan colour thin-film transistor (TFT) beresolusi tinggi menawarkan pelbagai fungsi dan ciri dalam paparan grafik 2D dan 3D untuk navigasi serta media.

Skrin dengan enam pandangan boleh ubah menawarkan aspek personalisasi ke tahap baru dengan lebih 30 pilihan kombinasi.

Ciri-ciri lain termasuklah pilihan ketersambungan yang banyak melalui unit utama dengan skrin sentuh Composition Media bersaiz 8”. Ia menyokong kamera belakang, selain sistem infohibur dan menu kenderaan yang lengkap.

Ciri-ciri Keselamatan

Tiguan Allspace Highline dilengkapi pelbagai ciri keselamatan utama seperti enam beg udara, Electronic Stability Control (ESC), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan Brake Assist (BA), brek Multi-collision, Intelligent Crash Response System (ICRS), Electronic Parking Brake (EPB) serta hill-hold control.

TIGUAN ALLSPACE R-LINE 2.0TSI

Tiguan Allspace R-Line hadir dengan ciri yang lebih banyak berbanding Tiguan Allspace Highline.

Luaran

Tiguan Allspace R-Line menampilkan gayaan sporty menerusi bampar hadapan dan belakang R-Line, garis pada panel sisi hadapan, ekzos berkembar serta spoiler belakang. Penampilan keseluruhannya disempurnakan lagi dengan rim aloi Sebring bersaiz 19”.

Ruang dalaman

Selain daripada tempat duduk hadapan dengan talaan elektrik 12-cara yang dibalut kulit Vienna.

Ruang kabin itu turut dipasang dengan lencana R-Line pada tempat duduk, stereng, pedal sports aluminium tahan karat, plat pelindung aluminium pada bahagian hadapan dan belakang, kemasan dekoratif ‘Dark Grid’ serta kemasan bumbung berwarna hitam.  

Enjin dan Prestasi

Tiguan Allspace R-Line ialah sebuah SUV yang menawarkan ruang, keselesaan dan prestasi. Sebuah SUV yang cukup mantap, ia dikuasakan oleh enjin turbo pancitan terus 2.0TSI dan dipadankan dengan kotak gear klac basah direct shift 7-kelajuan (DSG).

Enjin itu mampu menjana kuasa mencecah 220PS dan tork 350Nm. Ini menjadikan Tiguan Allspace R-Line sebagai kenderaan paling berprestasi dalam segmennya.

4MOTION

Tiguan Allspace R-Line serba baharu dilengkapi 4MOTION, sistem pacuan semua roda yang turut dipasang pada Golf R. Dengan 4MOTION, aspek cengkaman, pecutan dan keupayaan off-road jentera ini telah dipertingkatkan.

Ini kerana sistem pacuan semua roda tersebut mengagihkan kuasa kepada semua empat roda bila dan di mana ia diperlukan. 

4MOTION berfungsi selari dengan sistem-sistem keselamatan aktif yang lain di dalam kereta seperti Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Electronic Stability Programme (ESP) dan Hill Descent Control (HDC).

Ketersambungan

Selain Digital Cockpit yang cukup jelas, Tiguan Allspace R-Line juga dilengkapi sistem infohibur navigasi Discover Pro bersaiz 9.2” yang mudah dioperasi.

Terima kasih kepada plug-in App Connect (Apple Carplay, Android Auto, Mirrorlink) yang lengkap dengan kawalan suara dan gestur untuk memberikan ketersambungan bebas tangan sepenuhnya kepada pemandu.

Ciri-ciri Pemanduan

Tiguan Allspace R-Line hadir dengan ciri Dynamic Chassis Control (DCC) bersama Driving Mode Selection untuk pemanduan yang lebih personal. Ia menawarkan sehingga 15 gaya pilihan dan empat mode pemanduan – Comfort, Normal, Individual dan Off-Road.

Setiap penyerap hentak disambungkan ke satu sistem yang mampu mengira data daripada sensor bagi memberikan talaan optimum untuk dipadankan dengan keperluan serta kecenderungan pemandu.

Keselamatan  

Hill Descent Control (HDC) ialah satu ciri keselamatan tambahan yang menawarkan kawalan laluan off-road mengujakan apabila mode Off-Road diaktifkan.

Ciri tersebut yang merupakan sebahagian daripada sistem 4MOTION akan menekan brek dan pendikit apabila diperlukan. Ia bagi memastikan kenderaan bergerak pada kelajuan stabil dan terkawal ketika menuruni bukit.

Warna dan Harga

Varian Tiguan Allspace Highline dan Tiguan Allspace R-Line didatangkan dalam warna biru (Blue Silk), putih (Pure White), hitam (Deep Black), kelabu (Platinum Grey) dan putih (Pyrite Silver).

Tiguan Allspace Highline serba baharu ditawarkan pada harga RM165,000 dan Tiguan Allspace R-Line berharga  RM209,575 seunit

Pemilik akan menikmati penyelenggaraan percuma selama 3 tahun, selain jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama 5 tahun.

GALERI

Google ads
Back to top button