Buletin

PENGUATKUASAAN CRS DILAKSANAKAN SECARA ADVOKASI SEHINGGA HUJUNG TAHUN

Penguatkuasaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) di dalam kenderaan masih dilaksanakan secara advokasi sehingga hujung tahun ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata ia bagi memberi laluan kepada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) mengkaji semula kesesuaian dari segi usia dan ketinggian serta satu pelan tindakan secara menyeluruh yang akan diumumkan kemudian.

“Bagi kami masa sehingga hujung tahun ini, kami kena lihat setakat apa, tahun apa (umur) jika ikut ketinggian 1.3 meter dan umur sudah 10 tahun, kalau ikut usia juga, ia akan bagi kesan kewangan kepada ibu bapa. 

“Dalam tempoh ini kami akan teliti, sehingga ada naratif dan advokasi yang cukup untuk melaksanakan peraturan ini,” katanya ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Datuk Zakaria Mohd Edris @ Tubau (Bersatu-Libaran) berhubung sejauh manakah tahap pelaksanaan dasar CRS yang berkuat kuasa pada 1 Jan 2020 dan adakah kementerian bercadang untuk meluaskan pelaksanaannya ke sektor pengangkutan awam.

Wee berkata berdasarkan perbincangan dengan pelbagai pihak berkepentingan, rata-rata berpandangan kementerian perlu berbalik kepada prinsip asal dalam isu keselamatan melibatkan penumpang dan kanak-kanak di dalam sesuatu kenderaan.

 “Kementerian meneliti maklum balas daripada orang ramai, mengenai piawaian berat, tinggi dan umur kanak-kanak yang perlu menggunakan CRS agar ia terus setara dan relevan dengan standard keselamatan yang diterima pakai di peringkat antarabangsa.

“Saya juga telah mengarahkan Miros untuk mengadakan perbincangan terperinci dengan pihak persatuan pengeluar dan penjual kenderaan serta pihak pembuat dan pengimport CRS ke arah mengurangkan kos jualan CRS,” ujarnya.

Sejak peraturan diperkenalkan, daripada kajian yang dijalankan, terdapat peningkatan kesedaran ibu bapa dengan peningkatan kadar penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak sebanyak enam peratus, iaitu daripada 38 peratus pada tahun 2019 kepada 44 peratus pada tahun ini

Wee berkata tujuan utama kementerian mewajibkan peraturan penggunaan CRS adalah atas dasar keselamatan kanak-kanak dan bukan bertujuan mengenakan penalti, saman atau menyusahkan orang ramai.

Sementara itu, beliau menjelaskan buat masa ini pemakaian CRS hanya diwajibkan kepada kenderaan persendirian kerana wujud kekangan memperluaskan pelaksanaannya dalam kenderaan perkhidmatan awam atas faktor praktikaliti. – Bernama

Google ads
Back to top button