" "
Buletin

VOLKSWAGEN TOUAREG R-LINE DILANCARKAN – JANA 340PS, HARGA BERMULA RM469K

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) hari ini secara rasmi memperkenalkan Touareg R-Line ke pasaran tempatan.

SUV flagship yang dipasang tempatan itu ditawarkan pada harga bermula RM469,990 termasuk Pakej Jaminan Volkswagen (Volkswagen Assurance Package, VAP).

Touareg yang kini sudah memasuki generasi ketiga, merupakan SUV pertama keluaran Volkswagen semenjak prebiu globalnya pada tahun 2002.

Dari segi penggayaan, ia tampil dengan Reka bentuk hadapan dan luaran baharu termasuk gril radiator, lampu utama serta apron hadapan baharu sementara bahagian belakang dipadankan lampu LED jalur lebih tajam.

Perincian lain termasuklah logo Volkswagen di belakang berlampu merah, rim aloi Braga bersaiz 20-inci, kemasan krom serta insignia ‘R’ pada bahagian pintu dan gril hadapan.

Touareg didatangkan dalam lima pilihan warna iaitu:

  • Biru (Lapiz Blue)
  • Kelabu (Silicon Gray)
  • Hitam (Grenadilla Black)
  • Putih (Oryx White)
  • Perak (Dolomite Silver)

Untuk rekod, model SUV ini adalah berdasarkan platform MLB Evo, sama seperti Porsche Cayenne, Lamborghini Urus dan Bentley Bentayga.

Menjengah ke dalam kabin, ia tampil dengan nuansa mewah, dilengkapi instrumen digital 12.3-inci dan hos skrin sentuh pusat bersaiz besar 15-inci, dan mempunyai sistem audio premium Dynaudio Consequence berkuasa 730W.

Ciri lain ditawarkan adalah Sistem kawalan suhu 4-zon serta Kerusi Suhu Aktif (Active Climate Seats), memberi lebih keselesaan kepada pemandu dan penumpang hadapan, terutama pada hari panas.

Selain itu, Suspensi udara dengan ciri pelarasan automatik menjadi ciri standard dan menawarkan keselesaan pemanduan terbaik.

Sistem tersebut akan mengubah suai ketinggian kenderaan selari dengan kondisi permukaan jalan L serta boleh direndahkan sebanyak 40mm selain tahap mengharung air juga mengagumkan iaitu setinggi 550mm.

Bagi ciri keselamatan, ia dilengkapi Night Vision serta disokong oleh IQ.DRIVE yang menawarkan sokongan pintar kepada pemandu, merangkumi ciri-ciri seperti Adaptive Cruise Control ACC (dengan Stop & Go), Area View, Autonomous Emergency Braking Front Assist, Automatic Post- Collision Braking, Lane Assist/Lane keeping, Park Assist, Side Assist dengan Rear Cross Traffic Alert, Advanced driver attention & drowsiness monitor dan Tyre Pressure Monitoring System.

Bukan itu sahaja, Touareg generasi terbaharu ini juga menjadi model Volkswagen pertama yang ditawarkan dengan ciri Front Cross Traffic Assist.

Beralih kepada kuasa, ia dijana oleh enjin 3.0-liter V6 TSI, berupaya menghasilkan 340PS dan tork sehingga 450Nm disalurkan kepada semua roda menerusi transmisi 8-kelajuan automatik serta sistem 4MOTION pintar.

Seperti dinyatakan di atas, Touareg R-Line 2024 boleh dimiliki pada harga RM469,990.

Touareg R-Line hadir bersama Pakej Jaminan Volkswagen (Volkswagen Assurance Package) yang merangkumi penyelenggaraan percuma, jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan percuma selama 5 tahun.

Maklumat lanjut boleh didapati di www.volkswagen.com.my/touareg-r-line. Tempahan dan pandu uji boleh dibuat di mana-mana pengedar sah Volkswagen.

GALERI:

Google ads
Back to top button