
VOLKSWAGEN MALAYSIA LANCAR GOLF GTI BLACK EDITION – HARGA BERMULA RM243K
Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah memperkenalkan edisi khas terbaharu untuk peminat tegar model GTI iaitu Golf GTI Black Edition.
Dijual pada harga RM258,990 (termasuk Volkswagen Assurance Package atau VAP), model ini kini ditawarkan dengan penjimatan pengenalan sebanyak RM15,000, menjadikan harganya hanya RM243,990.
Menampilkan rekaan gelap yang diinspirasikan dari gaya ‘stealth’, Black Edition bukan sekadar sebuah jentera berprestasi tinggi, ia adalah simbol gaya hidup yang sofistikated.

Diperhalusi dengan sentuhan unik dan aksesori tulen, edisi ini memberi penekanan kepada pemanduan menyeronokkan dalam pakej yang serba eksklusif.
Golf GTI Black Edition dipasang di Malaysia dan ditawarkan dalam dua pilihan warna luar: Deep Black dan Kings Red. Edisi ini tampil menonjol menerusi kemasan serba hitam yang merangkumi:
- Rim aloi 18 inci Richmond berwarna hitam
- Penutup hab dinamik GTI dengan logo yang kekal tegak
- Penutup injap GTI
- Kemasan hitam pada lip hadapan, diffuser belakang, skirting sisi dan cermin sisi
- Logo ‘BLACK’ pada tiang-B
- Filem tint Volkswagen yang mematuhi piawaian JPJ untuk keselesaan dalam cuaca panas
Bahagian dalamannya turut menerima sentuhan eksklusif, antaranya:
- Pemasangan perakam trafik Volkswagen UTR 2.0 di hadapan dan belakang – dilengkapi sensor imej Sony Starvis dan keupayaan rakaman berkualiti tinggi walaupun dalam cahaya rendah
- Teknologi pemampatan video canggih serta sambungan WiFi dwi-jalur 5 GHz untuk pemindahan pantas
- Elemen kargo dengan pelekat velcro untuk keselamatan barangan di ruang simpanan
- Karpet lantai edisi khas dan kotak pemilik Black Edition yang mengandungi pemegang kunci serta Sijil Ketulenan eksklusif

Sebagai tambahan, pembeli bakal menikmati penyelenggaraan percuma selama 7 tahun, jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama 5 tahun, semuanya termasuk dalam pakej VAP.
Golf GTI Black Edition bakal membuat kemunculan sulungnya kepada umum di Malaysia Autoshow 2025 yang berlangsung di MAEPS, Serdang dari 9 hingga 15 Mei ini.
Mereka yang berminat boleh membuat tempahan di mana-mana pusat pengedar sah Volkswagen seluruh negara.
GALERI:






- BACA: VOLKSWAGEN MALAYSIA PERKENAL WOLFSBURG EDITION UNTUK ARTEON DAN TIGUAN ALLSPACE – HARGA BERMULA RM180K
- BACA: YAMAHA 135LC, Y15ZR MOTOSIKAL PALING BANYAK KEMALANGAN TAHUN 2024
- BACA: CERMIN KERETA, SUNROOF ATAU PANAROMIC ROOF BOLEH PECAH TIBA-TIBA ?
- BACA: LEBIH 400 DUCATISTI GEGAR JALAN RAYA NEGARA SEMPENA WE RIDE AS ONE 2025