
DATO’ AZIZULHASNI AWANG DILANTIK SEBAGAI DUTA JENAMA VOLKSWAGEN MALAYSIA
Ikon sukan negara, Dato’ Azizulhasni Awang kini secara rasmi bergelar duta jenama pertama Volkswagen di Malaysia, hasil kerjasama terbaharu antara beliau dan Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM).
Perlantikan ini bukan sekadar simbolik, ia mencerminkan nilai bersama antara pelumba berbasikal bertaraf dunia itu dan jenama automotif dari Jerman tersebut: keberanian, ketelitian dan semangat untuk sentiasa maju ke hadapan.
Dato’ Azizul, yang digelar “The Pocket Rocketman”, merupakan lambang kecekalan dan dedikasi, sama seperti warisan reka bentuk dan kejuruteraan Volkswagen yang tak lapuk dek zaman.
Daripada laluan sempit di Dungun ke podium Olimpik di Tokyo, perjalanan Dato’ Azizul tidak hanya memukau dunia sukan, tetapi juga mencerminkan tekad dan inovasi, nilai yang turut menjadi asas kepada setiap kenderaan Volkswagen.

“Dato’ Azizulhasni merupakan tokoh luar biasa yang bukan sahaja mengungguli trek perlumbaan, tetapi turut menjadi inspirasi kepada generasi akan datang,” kata Pengarah Urusan VPCM, Renate Noessler.
“Kami berbesar hati menyambut beliau sebagai sebahagian daripada keluarga Volkswagen.”
Disiplin dan keperibadian beliau yang rendah hati menjadikan beliau padanan ideal untuk jenama ini, yang memiliki pelbagai model – daripada Golf GTI, Arteon, Tiguan Allspace hingga ke Touareg.
Bagi Dato’ Azizul, tanggungjawab baharu ini lebih daripada sekadar mempromosikan sebuah jenama automotif. “Saya percaya bahawa kejayaan tidak hadir secara kebetulan. Ia datang daripada dedikasi, konsistensi dan keberanian menghadapi cabaran, sama seperti apa yang Volkswagen perjuangkan,” katanya.
“Dapat mewakili Volkswagen sebagai duta pertama mereka di Malaysia adalah satu penghormatan besar. Saya harap kerjasama ini mampu memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk berfikir lebih besar dan terus melangkah ke hadapan.”
Kerjasama ini akan menyaksikan Dato’ Azizul muncul dalam pelbagai kempen digital, acara khas dan kandungan inspirasi yang dirancang oleh Volkswagen Malaysia.
Ia juga diharapkan dapat mengukuhkan lagi hubungan jenama ini dengan pelanggan sedia ada serta menarik minat generasi baharu yang menghargai inovasi, gaya dan keperibadian.
- BACA: NISSAN NAVARA CALIBRE SL DENGAN RIM BESI UNTUK THAI, DARI RM99 RIBU!
- BACA: ANDA PEMINAT SUKAN RALI? TAK TAU APA ITU SUKAN RALI? MUNGKIN KBS KLASS RALLY INI PATUT ANDA SERTAI
- BACA: UNCHARTED EV JADI TARUHAN BARU SUBARU – JARAK GERAK 450KM, TAWAR TIGA VARIAN
- BACA: WRC2 2025 – HERO TUAN RUMAH ROBERT VIRVES MENANG DI RALLY ESTONIA







