Buletin

RENATE NOESSLER TERAJUI VPCM, CIPTA SEJARAH SEBAGAI PENGARAH URUSAN WANITA PERTAMA SYARIKAT

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) dan PHS Automotive Malaysia (PHSAM) hari ini mengumumkan perubahan penting dalam barisan kepimpinan mereka, dengan pelantikan Renate Noessler sebagai Pengarah Urusan kedua-dua syarikat.

Pelantikan tersebut menjadikannya wanita pertama yang mengetuai operasi syarikat tersebut di Malaysia. Beliau akan bergandingan dengan Kurt Leitner dalam memacu arah tuju VPCM dan PHSAM.

Kedua-dua tokoh ini akan mengetuai usaha memperkukuh jenama Audi serta memperluas kehadiran Volkswagen di pasaran tempatan, dengan fokus terhadap inovasi dan peningkatan pengalaman pelanggan.

Renate merupakan tokoh berpengalaman luas dalam industri automotif dengan lebih 30 tahun penglibatan dalam bidang jualan, pemasaran dan strategi perniagaan di peringkat global.

Sebelum ini, beliau memegang jawatan sebagai Pengurus Besar Jualan di Audi Singapura dan memainkan peranan penting dalam mengukuhkan kehadiran jenama tersebut di Asia Tenggara.

“Saya amat berbesar hati dengan amanah yang diberikan dan komited untuk bekerjasama rapat dengan pelanggan, pengedar serta rakan niaga di Malaysia.

“Kami akan terus menumpukan usaha untuk memberikan pengalaman pelanggan yang terbaik, di samping memperkukuh kedudukan Volkswagen dan Audi dalam landskap automotif yang kian mencabar,” kata Renate.

Sementara itu, Denyu Bostandzhiev yang sebelum ini menerajui VPCM dan PHSAM sejak Julai 2022, akan kembali berkhidmat bersama Porsche Holdings Salzburg (PHS) di Bulgaria.

Di bawah kepimpinannya, pelbagai inisiatif berjaya dilaksanakan termasuk pelancaran model-model khas Volkswagen seperti Touareg serta permulaan pemasangan tempatan model Audi Q7.

Perubahan kepimpinan ini dilihat sebagai langkah strategik untuk terus memperkukuh daya saing kedua-dua jenama Eropah itu di Malaysia yang kini menyaksikan pertumbuhan pesat dalam segmen kenderaan premium dan elektrik.

Google ads
Back to top button