
KIT SIMULASI PERLUMBAAN FERRARI 458 SEBENAR – KHAS UNTUK GAMERS KAYANGAN
Rasanya tak ada peminat kereta yang tak mempunyai impian untuk memiliki sebuah Ferrari. Nak beli Ferrari sebenar mungkin tak cukup duit lagi jadi apa kata beli je simulator Ferrari 458 saiz sebenar yang boleh didapati di UK sekarang. Boleh buat hiasan di ruang tamu pada hari raya ini.

Ia sesuai digunakan dalam semua musim tak kira hujan ataupun kemarau. Tiada kos untuk tayar, tiada masalah hydroplaning dalam hujan dan kalau kemalangan pun tak akan rosak.
Simulator perlumbaan ini dihasilkan oleh Chartwell, pembuat badan kenderaan yang diperakukan oleh Ferrari sendiri. Kabinnya dilengkapkan bukan dengan hanya satu tapi dua simulator perlumbaan di kiri dan kanan. Jadi boleh pilih nak rasa pemanduan sebelah kiri ataupun kanan. Nak berlumba antara satu sama lain pun boleh.

Simulator ini diletakkan di atas platform logam tapi boleh digerakkan ke sana sini dengan mudah kerana ia mempunyai roda macam troli di bahagian bawah.
Untuk memenuhi impian perlumbaan anda, simulator ini dilengkapkan dengan stereng Thrustmaster TS-PC perlumbaan Ferrari selain pedal-pedal Fanatec Clubsport yang boleh bergegar seperti pedal sebenar. Pembesar suara Butt Kicker pula menyerlahkan bunyi enjin, tukaran dan pergerakan udara dalam kabin seperti perlumbaan sebenar. Punyalah real kau.
Tak cukup lagi? Macam mana dengan tempat duduk perlumbaan Sparco dan platform Next Level Racing Motion Platform V3 lengkap dengan tali pinggan keledar perlumbaan berwarna merah. Memang tak laku la lemang ketupat raya ni kalau ada simulator ni.
Tulang belakang simulator ini ialah dua motherboard Sporting MSI X470 Gaming Plus dan digandingkan dengan dua memori 16GB Corsair Vengeance LPX dan kad grafik GeForce RTX 2080. Processornya pula ialah sepasang AMD 7 2700X. Kaki games tengok benda ni memang meleleh airliur macam dapat tengok gambar teh ais kaw pukul 2 petang bulan puasa.
Buat masa sekarang kit simulasi ini berharga sekitar RM61,000 di UK. Penghantaran di sekitar UK hanya memakan masa 3 hari. Kalau nak kirim ke Malaysia kami tak pasti. Korang cubalah tanya sendiri.


