Buletin

MYTUKAR TUKAR NAMA KE CARRO: LANGKAH MENUJU KE ARAH TRANSFORMASI

myTukar, platform kereta terpakai popular di Malaysia, sedang menjalani proses transformasi yang mengujakan dengan penjenamaan semula kepada Carro.

Menurutnya, langkah ini adalah harapan untuk membawa lebih banyak teknologi canggih, produk, dan perkhidmatan kepada pelanggan di Malaysia.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Carro, Aaron Tan menyatakan, “Usaha menjenamakan semula myTukar menandakan satu kejayaan besar dalam penyepaduan jenama kami, dan lebih bersemangat untuk terus mencapai semua matlamat seterusnya dalam pelan hala tuju.”

Beliau menambah, “Kami mencapai keuntungan sebagai sebuah kumpulan syarikat dan bersedia untuk Tawaran Awam Permulaan (IPO) untuk menyenaraikan syarikat kami sebaik sahaja mendapat peluang untuk melakukannya.

“Kami teruja dengan perancangan baharu akan datang yang menarik bukan sahaja untuk Malaysia, malah seluruh pasaran kami.”

Carro merupakan platform kereta terpakai dalam talian terbesar dan paling menguntungkan di Asia Tenggara, kini beroperasi di Singapura, Malaysia, Indonesia, Thailand, Jepun, dserta Taiwan.

Syarikat startup Singapura ini kini berada di landasan tepat untuk mencapai EBITDA terbaik pada tahun kewangan 2024, iaitu hampir AS$40 juta (RM187 juta), lebih 10 kali ganda daripada apa yang dicapai untuk keseluruhan tahun kewangan 2023.

Sejak penubuhan myTukar pada 2017, syarikat ini telah mencatatkan pencapaian yang mengagumkan, termasuk pelaburan AS$30 juta (RM140 juta) daripada Carro untuk merevolusikan dan mendigitalkan industri kereta terpakai yang berpotensi tinggi di Malaysia.

myTukar telah berkembang menjadi ekosistem kereta terpakai dalam talian yang pertama dan terbesar di Malaysia, menyediakan perkhidmatan jual beli, insurans, pembiayaan, serta selepas jualan.

Prestasi terbaik myTukar direkodkan pada Januari 2024, dengan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 55 peratus dan turut mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 40 peratus pada suku lepas.

Pengasas myTukar dan Ketua Pegawai Eksekutif Pasaran Antarabangsa Carro, Fong Hon Sum berkata, “Saya sentiasa mempunyai impian dan bermatlamat untuk mentransformasikan industri kereta terpakai dan menitikberatkan proses yang telus serta jujur demi manfaat pelanggan.”

Ketua Pegawai Eksekutif Carro Malaysia, Derrick Eng pula menjelaskan ia fokus kepada memacu pertumbuhan yang mampan untuk Kumpulan sambil terus menyediakan kereta terpakai berkualiti kepada rakyat Malaysia.

Turut meraikan kejayaan ini adalah duta pertama Carro, Phei Yong, di mana pempengaruh kegemaran ramai ini memandu kereta Carro Certified dalam pengembaraan jalan raya dua hala sejauh 700 kilometer dari Kuala Lumpur ke Singapura pada September lalu.

“Terdapat banyak platform kereta terpakai, tetapi saya memilih untuk bekerjasama dengan Carro kerana yakin dengan proses mereka yang jujur dan telus,” ujar Phei Yong.

“Ada banyak kempen menarik yang akan datang dan saya tidak sabar untuk berkongsi lebih banyak lagi dengan semua,” tambahnya.

Penjenamaan semula myTukar kepada Carro menandakan satu tonggak penting dalam perkembangan ekosistem kereta terpakai di Malaysia.

Diharapkan langkah ini akan membawa lebih banyak inovasi, kualiti, dan kepuasan kepada pelanggan Carro di Malaysia serta di seluruh rantau Asia Tenggara.

Google ads
Back to top button