
VOLVO C40 RECHARGE PURE ELECTRIC RASMI DILANCARKAN. 408HP/660NM, AWD, 450KM SEKALI CAJ, CKD SHAH ALAM, BERMULA RM288,888!
Baru sahaja semalam Mercedes-Benz Malaysia melancarkan sedan elektrik EQE 350+, Volvo Cars Malaysia (VCM) hari ini terus memeriahkan pasaran EV tempatan apabila memperkenalkan SUV elektrik keduanya, C40 Recharge Pure Electric. Ia juga merupakan model elektrik kedua yang dipasang oleh VCM di kilangnya di Shah Alam.
C40 boleh dikatakan sebagai kembar XC40 Recharge Pure Electric kerana ia menggunakan platform yang sama iaitu Compact Modular Architecture (CMA). CMA yang direka khusus untuk memuatkan trenkuasa enjin pembakaran dalam, hibrid dan elektrik sepenuhnya itu turut digunakan oleh model Lynk & CO, Geely serta Polestar 2.
Lebih menarik lagi, platform CMA membolehkan jentera dipasang dengan sistem pacuan hadapan atau semua roda. Sebab itu jugalah, C40 ditawarkan dalam dua pilihan sistem pacuan kepada pengguna di Malaysia.

Untuk makluman, terdapat dua varian C40 di pasaran antarabangsa iaitu pacuan roda hadapan dan pacuan semua roda (AWD). Namun, pelanggan di Malaysia hanya menerima versi AWD yang dilengkapi dua unit motor berkuasa 408hp dan tork 660Nm.
Dengan kuasa itu, varian AWD boleh mencatat pacuan 0-100km/j dalam masa hanya 4.7 saat.
Versi pacuan roda hadapan pula dipacu oleh motor elektrik tunggal berkuasa 231hp dan tork 330Nm. Jentera tersebut memerlukan masa 7.4 saat untuk mencapai kelajuan 0-100km/j. Biarpun begitu, halaju maksimum kedua-dua varian dihadkan kepada 180km/j sahaja.
Pek bateri lithium-ion berkapasiti 78kWh menawarkan perjalanan sejauh 450km dengan sekali caj. Ia menyokong caj AC sehingga 11kW (Type 2) yang memerlukan masa 7.5 jam untuk dicaj penuh.

Jika menggunakan pengecasan pantas DC (Type 2), kemampuan menerima aliran tenaga elektrik sehingga 150kW membolehkan bateri dicaj dari 0ke 80 peratus dalam tempoh 33 minit sahaja.
Berbanding XC40 Recharge Pure Electric yang hadir dengan rekaan saling tak tumpah seperti model XC40 versi petrol, C40 mempunyai rekaan luaran yang lebih menarik. Rekaan sebuah coupe dengan bumbung bahagian belakang yang lebih melandai itu pasti menarik minat pembeli muda.
Reka bentuk belakang diserlahkan lagi dengan spoiler dan wing nipis pada hujung cermin. Paling menarik perhatian pastinya lampu belakang LED yang membentuk garis-garis berwarna merah.
Bahagian hadapan dan ruang kabin bagaimanapun tidak banyak berbeza jika dibandingkan dengan XC40 Recharge Pure Electric. Ia masih menerima sepasang lampu utama LED dengan rekaan lampu nyalaan siang (DRL) signatur tukul Thor dan gril tertutup yang diwarnakan dengan warna badan kereta.

Masuk ke ruang kabin, anda akan dialu-alukan dengan susun atur yang sama seperti XC40 Recharge Pure Electric. Papan pemuka dihuni oleh skrin sentuh berukuran sembilan inci yang diposisikan secara menegak bersama ketersambungan Google, Google Assistant dan Google Play.
Maklumat pemanduan dipaparkan menerusi skrin digital bersaiz 12 inci yang boleh diubah suai mengikut kecenderungan pemandu. Pemandu boleh melihat peta, lokasi pengecasan dan penggunaan tenaga pada skrin tersebut. Tipikal sebuah Volvo, ruang kabin menggunakan material untuk menyerlahkan kemewahan dan keselesaannya.
Sesetengah pasaran menerima 2 pilihan sistem audio sama ada sistem audio prestasi tinggi yang datang dengan 8 pembesar suara dengan kuasa 250 watt. Pilihan kedua ialah pembesar suara Harmann Kardon dengan 13 pembesar suara dan subwoofer berkuasa 600 watt.
Disebabkan tiada enjin, C40 menawarkan ruang kargo depan (front trunk) seluas 31 liter yang cukup untuk memuatkan kabel mengecaj. Ruang kargo di belakang pula adalah 413 liter. Jika tempat duduk belakang dilipat, ruang kargo boleh mencecah 1,205 liter.

Aspek keselamatan ditingkatkan menerusi kamera 360 darjah, sistem amaran trafik lintasan belakang, amaran titik buta, Lane Keep Assist, brek kecemasan automatik dengan keupayaan mengesan kenderaan lain, pejalan kaki, penunggang basikal dan bintang liar. Bateri pula dilindungi dengan kerangka khas untuk mengelakkan kerosakan jika terlibat dalam kemalangan.
C40 didatangkan dalam lima pilihan warna iaitu putih, hitam, hijau, perak dan biru. Jika berminat, SUV elektrik itu boleh anda miliki pada harga bermula RM288,888 seunit. Jentera ini sudah boleh ditempah bermuka 15 Disember 2022.
Ia hadir bersama jaminan kenderaan, Volvo On Call, Volvo Service Included (VSI) selama lima tahun atau 100,00km (mana-mana tiba dahulu), jaminan bateri untuk lapan tahun atau perbatuan sejauh 160,000km dan servis digital selama empat tahun.







