" "
Pandu Uji

VOLVO XC40 RECHARGE PURE ELECTRIC, PEMBELIAN YANG SANGAT BERBALOI

Kalau kita teliti balik sejarah automotif Malaysia, Ford adalah syarikat pertama yang membuka kilang di Malaysia. Tapi lokasinya berada di Bukit Timah iaitu Singapura menjadikan fakta ini kurang relevan. Tapi jika kita teliti semula sejarah Malaysia, Swedish Motor Assemblies merupakan antara syarikat yang terawal membuka kilang pemasangan kereta di negara kita

Paling menarik kilang SMA yang dibuka pada tahun 1967 ini masih lagi beroperasi di Shah Alam dan terkini kilang yang berada di bawah pengurusan Volvo Car Malaysia Sdn Bhd mula memasang kereta elektrik yang pertama di Malaysia secara CKD. Model yang dimaksudkan ialah Volvo XC40 Recharge Pure Electric.

Volvo XC40 Recharge Twin P8 ini merupakan kereta elektrik pertama yang dihasilkan oleh Volvo di peringkat global pada tahun 2019. Bagi pasaran Malaysia, XC40 Recharge dijual pada harga RM 262,460 sahaja berbanding dengan XC40 Petrol yang berharga RM 255,000. Beza harga tak jauh tapi anda mendapat sebuah kereta elektrik penuh

Harga yang murah ini diperolehi apabila tiada cukai eksesais, tiada SST dan cukai jalan dikecualikan daripada pembelian XC40 Recharge. XC40 Recharge ini sangat berbaloi sehinggakan stok untuk tahun 2022 telah habis dijual, 400 biji semuanya telah ditempah. Kalau anda berminat mungkin anda kena beli tahun 2023.

XC40 Recharge ini dibangunkan atas platform Compact Modular Architecture atau singkatanya CMA merupakan platform yang dibangunkan khas untuk dikuasakan dengan enjin dan juga trenkuasa hibrid. Ia bukanlah platform khas kereta elektrik (skateboard platform), ia platform kereta petrol yang diubahsuai dengan trenkuasa elektrik

Tapi yang bagusnya pek bateri yang menjadi bonggol dalam cesi CMA ini tidaklah ketara sangat jika dibandingkan dengan platform Volvo V60. Bonggol atau hump masih ada tapi masih boleh dimaafkan, malah kita boleh puji cara Volvo menyusun semula bateri bagi kegunaan XC40 Recharge.

Kalau anda nak tahu, kereta elektrik dengan platform skateboard baterinya terletak di bawah lantai, menjadikan pelantar kereta tinggi dan anda sebenarnya berada pada kedudukan sedikit mencangkung. Tapi isu ini tidak timbul dengan XC40 Recharge kerana ruang kaki adalah cukup dan selesa. Ia tidak menjadikan lutut anda ternaik ke atas lantas menyebabkan anda seperti duduk mencangkung

Apa yang menjadikan penulis selesa dengan Volvo XC40 Recharge ialah rekaan luar dan dalam yang digunakan hampir 99% sama dengan versi yang digunakan oleh varian petrol. Dari aspek luaran, XC40 Recharge masih menggunakan lampu depan dengan elemen tukul Thor. Hanya jeriji atas sahaja lain sedikit dengan bukaan udara minima.

Kereta elektrik tidak memerlukan banyak aliran udara, jadi jeriji atas ditutup bagi menjadikan kadar seretan udara menjadi lebih bagus. Aliran udara hanya diperlukan bagi menyejukkan bateri sahaja. Untuk elemen tepi, hanya perkataan RECHARGE sahaja yang ditampal pada tiang C XC40.

Tayar Pirelli PZero Elect dipilih sebagai tayar OEM XC40 dengan saiz depan dan belakang yang berbeza. Untuk tayar depan ia menggunakan bersaiz 235/55 R19 manakala tayar belakangmenggunakan saiz 235/55 R19. Pada hemat penulis, ia tayar khas untuk kereta elektrik yang menjana tork yang tinggi, menampung berat bateri dan juga lebih senyap

Untuk di bahagian belakang, hanya satu logo kecil bertulis Twin Recharge ditampal. Twin bermaksud ia menggunakan 2 motor elektrik iaitu satu motor di gandar depan dan satu lagi motor elektrik di gandar belakang. Setiap motor menjana 202 kuasa kuda dan 330Nm tork.

Jadi XC40 pacuan semua roda dan secomel ini mampu menghamburkan sekitar 404 kuasa kuda dan 660Nm tork. Pintu ruang kargo belakang boleh dibuka secara automatik bagi memberikan ruang sebesar 460 liter. Jika anda rasa ruang ini kecil, lipat sahaja penyandar belakang kusyen belakang untuk memberikan ruang sebsar 1295 liter.

Kalau masih tak cukup, ruang kargo depan atau atau FRUNK memberikan ruang sebesar 21 liter. Ruang yang satu ketika dulu digunakan untuk menempatkan enjin ini digunakan untuk menyimpan barang. XC40 Recharge dipasang dengan bateri Lithium Ion Nickel sebesar 78kWh, cukup untuk jarak perjalanan sejauh 418km dengan protokol ujian WLTP

Berdasarkan ujian pemanduan penulis, jarak tersebut boleh dicapai dengan mudah. Dari segi kecekapan penggunaan tenaga, Volvo memberikan bacaan sekitar 25.5kW bagi setiap 100km. Tapi dengan gaya pemanduan yang sopan, penulis berjaya mendapat 18.2kW bagi setiap 100km. Secara mudah XC40 Recharge boleh dipandu 5.49km bagi setiap 1kWh tenaga elektrik

Jika anda mengecaj XC40 dengan menggunakan plug 3 pin biasa, ia memerlukan sehingga 34 jam untuk memenuhkan bateri dari 0% sehingga 100%. Tapi anda tak buat begitu, anda akan mengecaj setiap kali ada peluang. Kita panggil topup kuasa bateri.

Masa ini akan menjadi 11 jam jika menggunakan pengecaj 7kW atau 7 jam jika menggunakan pengecaj 22kW yang boleh dipasang di rumah walaupun kosnya tidaklah murah. Jika anda dalam perjalanan jarak jauh, anda boleh mengecaj dengan menggunakan DC Fast Charging yang memerlukan masa 37 minit sahaja untuk mengecaj dari 0-80%.

Lebih kurang sahaja dengan masa anda ke tandas, minum dan solat sekejap. Sama sahaja seperti anda memandu kereta biasa. Masuk saja ke kabin penumpang, anda akan rasa sangat selesa kerana papan pemuka, meter digital dan tombol gear adalah sama seperti varian petrol. Tiada apa pun yang berbeza menjadikan anda tidak kekok.

Seperti biasa skrin sebesar 12.3 inci yang dipasang di bahagian tengah meter menempatkan pelbagai ciri dan tetapan. Butang fizikal dikekalkan untuk memainkan sistem multimedia yang menghasilkan bunyi yang sedap melalui 13 pembesar suara Harman Kardon

Paling menarik ialah penggunaan sistem navigasi yang berasaskan Google Map. Masukkan sahaja destinasi, ia akan menunjukkan arah perjalanan pada skrin 12 inci atau Intelligent Driver Information System meter. Ia bukan sahaja menunjukkan masa perjalanan, tapi berapa peratus bateri yang akan digunakan.

Malah sistem ini juga akan mengira adakah bateri cukup untuk kita patah balik ke rumah atau memerlukan pengecasan ketika perjalanan pulang. Dengan jarak antara roda mencecah 2702mm, XC40 Recharge ini sebenarnya agak besar, melainkan kusyen belakang terasa sedikit kecil disebabkan saiznya yang dikecilkan serta sudut menyandar yang sedikit tegak.

Satu-satunya perbezaan ketara antara Recharge dengan versi Petrol ialah ketiadaan suis Push Start Button. Masuk dalam kereta, pakai tali pinggang dan terus hidupkan penyaman udara. Tekan pedal brek, masukkan gear R atau D maka XC40 terus meluncur. Tapi anda perlu berhati-hati dengan pedal kerana tork 660Nm ini sungguh kuat

Jika anda berani, XC40 boleh memecut pantas dari 0-100km/jam dalam masa 4.9 saat sahaja sebelum halaju dihadkan kepada 180km/jam. Sukar untuk diterima bahawa sebuah crossover seberat 2123kg boleh memecut sederas ini di laluan lurus. Jadi sebelum anda mencuba pecutan XC40, pastikan jalan raya betul-betul selamat dulu ya

Tapi jika anda berterusan memecut, anda akan kehabisan tenaga dengan cepat. Untuk pemanduan berhemah, penulis menghidupkan paparan Range Assistant yang akan memantau penggunaan tenaga serta menunjukkan corak pemanduan anda. Untuk jarak pemanduan maksimum, pastikan semua paparan meter adalah berwarna biru bukannya oren.

Jika anda memandu berhemah di atas permukaan jalan yang bagus, maka suasana perjalanan anda dan bunyi yang dihasilkan amat minima. Kadar kebisingan dari pergerakan tayar adalah sekitar 52dB sahaja pada 90km/jam dan menjadi 55dB pada 110km/jam

XC40 menggunakan topang McPherson di roda belakang dan MultiLink di roda belakang. Jarak kelegaan dengan permukaan jalan adalah sekitar 175mm. Jadi bila dicampur dengan berat bateri serta pusat graviti yang tinggi maka XC40 tidaklah seronok sangat jika dipandu laju di selekoh.

Ia terasa tidak lincah dan tumpul untuk beraksi di laluan berselekoh. Tapi nasiblah XC40 dipasang dengan sistem brek yang boleh tahan mantap walaupun operasi brek regeneratif masih digunakan. Brek terasa melekat dan tidak janggal untuk digunakan seperti Volvo V60.

Menjadi tradisi untuk sebuah kenderaan dengan jenama Volvo, XC40 lengkap dengan semua ciri keselamatan termaju seperti:

1. City Safety – sistem ini boleh mengelak atau membrek di kawasan persimpangan jalan jika mengesan kereta, motosikal, basikal, binatang dan juga pejalan kaki.

2. Sistem Brek kecemasan automatik untuk bahagian depan dan belakang

3. Lampu dengan dengan Bending Light dan Active High Beam

4. Run-Off Road Mitigation with Road Edge Detection

5. Sistem Amaran titik buta dengan Steer Assist

6. Rear Cross Traffic Alert dengan Auto Brake

7. Lane Keeping Aid, Driver Alert Control serta Adaptive Cruise Control

Ketika membawa pulang XC40 ini ke rumah, penulis langsung tidak risau pasal isu pengecasan kerana XC40 boleh dicaj di rumah penulis dengan plug 3 pin biasa. Malah penulis sudah menyediakan satu plug khas di garaj yang bersambung dengan kotak DB elektrik.

Cuma penulis risau berat XC40 yang mencecah 2123kg ini kerana risaukan penutup manhole pecah jika dilalui oleh XC40. Malah berat ini juga sedikit sebanyak menjejaskan keseronokan pemanduan XC40 di selekoh. Tapi jika anda memandu kereta elektrik, amat jarang sekali anda pandu seperti kereta sport. Tenang-tenang sudah

Untuk servis pula, XC40 perlu dihantar servis untuk kali pertama pada 30,000km. Ya anda tak salah dengar dan ini menjadikan kesemua 400 unit untuk tahun 2022 telah habis disambar. Memang laku keras XC40 Recharge ini kerana ia pembelian yang sangat berbaloi untuk dimiliki

Google ads
Back to top button