
AUDI 50 LANGKAH KE HADAPAN, CIPTA RIM BAHARU GUNA AI
Audi bakal menggunakan perisian canggih, Artificial intelligence (AI) untuk membantu mencipta rim masa depan.
Dikenali sebagai FelGAN, AI ditugaskan untuk mencipta rim baharu. Rim yang direka bentuk oleh AI akan ditunjukkan bersama-sama roda sebenar dan “discriminator” perlu memutuskan sama ada rim itu asli atau dijana oleh komputer.
Ini secara berkesan mengajar AI untuk mencipta rim yang realistik dan proses ini diulang beberapa kali sehingga latihan selesai. Sebenarnya, latihan tersebut mengajar algoritma untuk belajar daripada kesilapan mereka, selain penambahbaikan dapat dilaksanakan bagi memberikan hasil yang lebih realistik.

Menurut Audi, rim yang dihasilkan adalah ‘sangat mengelirukan sehinggakan mata manusia tidak dapat, atau hampir tidak dapat membezakannya daripada foto sebenar.’
Audi berkata FelGAN berfungsi dengan cepat mencadangkan sejumlah besar reka bentuk foto-realistik atau dengan menggabungkan semula reka bentuk sedia ada dalam ‘cara yang disasarkan.’
Walau bagaimanapun, AI tidak melakukan semua kerja kerana pereka selalunya hanya menggunakan elemen individu daripada ciptaan FelGAN.
Rim yang dipilih kemudian akan direalisasikan sama ada dalam aluminium atau plastik oleh mesin pengilangan berteknologi tinggi untuk mencipta prototaip reka bentuk.
FelGAN dicipta dengan tujuan untuk memberi inspirasi kepada pereka kerana syarikat itu berkata orang ramai cenderung untuk melupakan perkara yang biasa mereka lakukan semasa proses kreatif.








