Buletin

VOLVO EX90 RASMI DILANCARKAN – 517HP, JARAK GERAK 623KM, HARGA BERMULA RM442K

Volvo Cars Malaysia (VCM) hari ini secara rasmi melancarkan Volvo EX90 untuk pasaran tempatan, hadir dalam variant Ultra Twin dengan spesifikasi kuasa dan trim tertinggi.

Reka bentuk EX90 menyerlahkan pendekatan minimalis dan aerodinamik Volvo, dengan gril hadapan tertutup dan lampu depan ‘Thor’s Hammer’ yang direka semula serta dipadankan bersama rim bersaiz 21-inci.

Ia dibina di atas platform SPA2 yang direka khas untuk kenderaan elektrik, serta menampilkan dimensi yang lebih besar berbanding XC90.

Dengan panjang 5,037mm dan lebar 1,964mm, EX90 adalah 87mm lebih panjang dan 41mm lebih lebar daripada XC90.

Walaupun jarak antara rodanya hampir sama (2,985mm), SUV ini duduk 29mm lebih rendah dengan ketinggian 1,747mm, memberikan profil yang lebih stabil dan dinamik.

Konfigurasi tujuh tempat duduk 2+3+2 dikekalkan untuk memastikan kepraktisan sebagai SUV keluarga, dan penumpang akan menikmati ciri-ciri premium seperti bumbung kaca panoramik, kawalan suhu empat zon, tempat duduk hadapan dengan fungsi urutan, serta sistem suspensi udara bersama pelarasan adaptif.

Menjengah dalam kabin, ia dilengkapi paparan kluster instrumen digital 9.0-inci dan skrin infotainmen menegak bersaiz 14.5-inci. Selain itu, sambungan Apple CarPlay tanpa wayar juga disediakan. Kelengkapan lain termasuklah sistem audio Bowers & Wilkins 3D 25 pembesar suara.

EX90 ditawarkan dalam empat pilihan warna:

  • Onyx Black
  • Crystal White
  • Vapour Grey
  • Sand Dune

Pelanggan boleh memilih antara interior Charcoal atau Cardamom, dengan kemasan Nordico dipadankan bersama dekor Kayu Birch semula jadi yang diperakui FSC™.

Dari segi prestasi, EX90 dilengkapi motor dwi elektrik yang mampu menghasilkan 517hp dan 910Nm tork. Pek bateri 111kWj yang dipasang membolehkan pemanduan sejauh kira-kira 623km.

Untuk pengecasan pula, pengecasan pantas DC membolehkan bateri dicas dari 10% hingga 80% dalam masa sekitar 30 minit sahaja.

EX90 direka untuk menjadi model Volvo paling selamat setakat ini. Ia melindungi penumpang dan pengguna jalan raya menerusi sistem Safe Space Technology – rangkaian keselamatan aktif dan pasif Volvo, yang kini diperkasa oleh pengkomputeran teras untuk pemahaman 360 darjah terhadap persekitaran kenderaan.

Safe Space Technology merangkumi sistem brek automatik, bantuan stereng serta bantuan kekal lorong.

SUV ini turut dilengkapi sistem sensor LiDAR yang dipasang di atas cermin hadapan.

Selain itu, ia turut menampilkan lima radar, lapan kamera luaran, dua kamera dalaman, dan 16 sensor ultrasonik untuk melengkapkan sistem bantuan pemandu (ADAS) terkini.

Kelebihan lain EX90 adalah dari segi ruang penyimpanan, di mana ruang kargo belakang menawarkan kapasiti 310 liter walaupun barisan tempat duduk ketiga didirikan.

Butang kawalan bagi lipatan kuasa tempat duduk baris ketiga (50:50) serta fungsi penurunan suspensi belakang turut disediakan di bahagian sisi kanan ruang but, menjadikan pemuatan barang lebih mudah.

Beralih pada harga, Volvo EX90 yang akan mula dijual ialah unit import siap pemasangan (CBU) dengan harga runcit disyorkan RM442,888 untuk Semenanjung Malaysia dan RM442,648 untuk Sabah dan Sarawak.

Pakej termasuk perkhidmatan digital lima tahun, bantuan tepi jalan 24 jam, serta jaminan kenderaan tanpa had jarak perjalanan. Untuk ketenangan minda pengguna, bateri voltan tinggi dijamin selama lapan tahun.

50 pelanggan pertama akan menerima baucar pengecas dinding dan pengadang matahari panoramik bernilai RM5,000 secara percuma. Pelanggan boleh membuat tempahan bulan ini menerusi laman web Volvo Car Malaysia atau di pengedar sah terpilih.

GALERI:

Google ads
Back to top button