
DUCATI PANIGALE V4 LAMBORGHINI DIUMUMKAN – HANYA 630 UNIT, 218.5HP
Ducati dan Lamborghini mengumumkan kolaborasi ketiga antara kedua jenama itu kali ini menerusi Ducati Panigale V4 Lamborghini.

Kombinasi dua jenama besar dari Itali itu menyaksikan peminat seluruh dunia kini berpeluang menambah koleksi selepas Streetfighter V4 Lamborghini (2023) dan Diavel 1260 Lamborghinig (2021). Namun begitu, Panigale V4 Lamborghini ini merupakan yang paling berkuasa dengan 218.5hp pada 13,500rpm dan 122Nm pada 11,250rpm.

Kolaborasi kali ini menyaksikan Ducati dan Lamborghini menggabungkan dua model paling berkuasa, Panigale V4 dan Revuelto bagi menghasilkan model istimewa ini. Kedua-duanya melambangkan jentera berprestasi tinggi dalam portfolio masing-masing terutamanya enjin Desmosedici Stradale dan Lamborghini V12.

Untuk rekod, Lamborghini Revuelto merupakan jentera super sport hibrid (PHEV) pertama diperkenalkan syarikat itu sekaligus menetapkan petanda aras baharu bagi pasaran global. Gabungan enjin petrol dan elektrik ini menyaksikan Revuelto berupaya menjana 1,015hp.
Menurut Ducati, Panigale V4 Lamborghini ini mengguna pakai varian perdana Panigale V4 S sebagai asas pembangunan utama.

Ducati turut menerapkan livery dan perincian yang ada pada Revuelto kepada jentera edis khas ini yang terhad kepada 630 unit sahaja.
Antara perincian lain ditawarkan termasuk rim aluminium dengan reka bentuk sama seperti yang ada pada Revuelto. Selain itu, motosikal ini juga hadir dengan panel badan yang diilhamkan dari Revuelto.

Penggunaan bahan gentian karbon dan ekzos Akrapovic menyaksikan Panigale V4 Lamborghini ini hanya seberat 185kg (2.2kg) lebih ringan dari Panigale V4 S.
GALERI: DUCATI PANIGALE V4 LAMBORGHINI







