VOLVO EX90 BAKAL DIHANTAR KEPADA PELANGGAN BULAN INI – EX90 TAWAR JARAK GERAK 600KM, HARGA BERMULA RM559K
Volvo EX90, SUV elektrik sepenuhnya, kini bersedia di jalan raya dan kumpulan pertama model berkenaan sedang dihantar ke pengedar di Amerika Syarikat dan Eropah.
Menurutnya, pelanggan pertama bakal menerima kenderaan mereka sebelum akhir bulan ini sebelum penghantaran akan diperluaskan ke lebih banyak pasaran antara suku keempat tahun ini hingga suku pertama 2025.
EX90 merupakan model handalan baharu Volvo Cars, menetapkan piawaian baharu dalam aspek keselamatan, kelestarian, serta teknologi berpusatkan manusia yang memudahkan dan meningkatkan kualiti hidup.
Kenderaan ini berasaskan teknologi generasi baharu yang direka sepenuhnya elektrik, dengan jarak perjalanan sehingga 600km.

EX90 juga mencatatkan beberapa inovasi pertama dalam industri automotif. Ia merupakan model Volvo pertama yang dilengkapi dengan sistem lidar, serta pertama kali menggunakan sistem pengkomputeran teras.
Bukan itu sahaja, model ini juga merupakan yang pertama direka untuk menyokong pengecasan dua hala, membolehkan pelanggan menyumbang kepada grid lebih seimbang dan penggunaan tenaga boleh diperbaharui yang lebih luas dalam masyarakat.
Lebih menarik lagi, EX90 adalah kereta pertama di dunia yang menawarkan mod Abbey Road Studios dengan sistem audio premium Bowers & Wilkins sebagai pilihan tambahan.


Bahagian dalaman dan papan pemuka EX90 mengekalkan rekaan minimalis dengan skrin besar bersaiz 14.5 inci untuk mengawal ciri multimedia dan pelbagai fungsi lain.
Sistem multimedia ini berasaskan teknologi Google yang mampu mengira baki bateri dan jarak perjalanan, serta menyokong sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.
Dari segi kuasa, EX90 dikuasakan oleh bateri sebesar 107kWh yang disokong oleh sistem pengecasan 250kW DC Fast Charging.
Varian standard dilengkapi motor elektrik dengan 408hp dan 770Nm tork, manakala varian Performance menawarkan kuasa sehingga 510hp dan 910Nm tork.

Dari segi keselamatan, EX90 dilengkapi sistem LIDAR (Light Detection and Ranging) generasi baharu, 5 sistem radar, 16 sensor ultrasonik, dan 8 kamera yang akan sentiasa memantau perjalanan dan pergerakan kenderaan.
Sistem ini menyokong aplikasi Pilot Assist-Enhanced untuk memastikan perjalanan lebih lancar dan selamat.
Selain itu, sistem ini berupaya mengesan jika pemandu mengantuk, mengenal pasti penumpang yang tertinggal dalam kereta, serta mengesan bahaya atau kenderaan lain di persimpangan jalan bagi mengelakkan kemalangan.
Beralih pada harga, Volvo EX90 dianggarkan ditawarkan pada harga bermula RM559,530 hingga RM584,560.






