
VOLVO EX90 MENANG WORLD LUXURY CAR OF THE YEAR 2024
Selepas diperkenalkan secara rasmi kepada pasaran Malaysia baru-baru ini, Volvo EX90 mencipta sejarah apabila diumumkan sebagai pemenang World Luxury Car of the Year 2024 di pentas anugerah automotif berprestij, World Car Awards.
Pengiktirafan ini diberikan oleh panel juri antarabangsa yang terdiri daripada 96 wartawan automotif dari 30 negara, yang menyanjung tinggi pendekatan EX90 dalam menawarkan kemewahan Skandinavia serba moden, prestasi elektrik mengagumkan, serta inovasi keselamatan termaju.
EX90 bukan sekadar sebuah SUV elektrik mewah, ia dirancang sebagai “komputer bergerak” yang terus berkembang melalui kemas kini perisian over-the-air.

Disokong oleh platform pengkomputeran AI NVIDIA DRIVE serta tumpuan Volvo terhadap teknologi teras melalui Superset tech stack, EX90 menetapkan penanda aras baharu untuk kenderaan masa depan.
Dengan gabungan radar, kamera, penderia ultrasonik, dan buat pertama kalinya sistem lidar, EX90 menjadi model Volvo pertama yang dilengkapi untuk menyokong pemanduan autonomi secara progresif apabila undang-undang dan teknologi membenarkan.
Selain itu, ia turut menampilkan sistem Pilot Assist yang dipertingkatkan, membolehkan penukaran lorong secara automatik.
Tambahan pula, EX90 memperkenalkan teknologi pemantauan pemandu dan sistem pengesanan penghuni (Occupant Sensing), menjadikannya bukan sahaja pintar, tetapi juga antara kenderaan paling selamat di jalan raya hari ini.

Dari segi prestasi, EX90 dipacu oleh motor dwi elektrik yang mampu menjana sehingga 517hp dan 910Nm tork.
Ia turut dilengkapi pek bateri berkapasiti 111kWj, membolehkan jarak pemanduan sekitar 623km dengan sekali cas — menjadikannya praktikal untuk perjalanan jauh.
Untuk kemudahan pengecasan, pengecas pantas DC membolehkan bateri dicas dari 10% hingga 80% dalam hanya 30 minit.
Untuk pasaran Malaysia, Volvo EX90 dijual sebagai unit import siap bina (CBU) dengan harga runcit disyorkan RM442,888 untuk Semenanjung Malaysia dan RM442,648 untuk Sabah dan Sarawak.
Harga ini disertakan pakej lima tahun perkhidmatan digital, bantuan tepi jalan 24 jam, serta jaminan tanpa had perbatuan.
Turut disertakan ialah jaminan selama lapan tahun untuk bateri voltan tinggi — memberikan ketenangan minda kepada pemiliknya.