
INI KEMEWAHAN DALAMAN VOLVO EX90 EXCELLENCE, DUA KERUSI SAHAJA DI BELAKANG!
Sudah menjadi kebiasaan sekarang ini pengeluar kereta menawarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) dengan tiga baris tempat duduk dan menyaingi kenderaan pelbagai guna (MPV).
Untuk kedua-dua jenis kenderaan tersebut, ada pengeluar yang terus menanggalkan kerusi baris ketiga dan memberi ruang yang lebih besar dan mewah.
Contoh yang boleh dilihat ialah Lexus LM dan Volvo EX90 Excellence baharu dan kedua-duanya diperkenalkan di Shanghai, China.
Volvo EX90 Excellence diletakkan pada kedudukan tertinggi dalam susunan varian EX90 dan dikeluarkan dalam jumlah terhad.
Dengan hanya dua kerusi di belakang, EX90 Excellence dibuat untuk pelanggan yang mahu dipandu.
Pada bahagian luar Volvo EX90 Excellence tampil sedikit berbeza dengan model tujuh tempat duduk dan paling mudah dilihat melalui skema warna dua tona.
Rim pula saiz 22 inci yang direka khas dan dioptimumkan untuk aerodinamik selain lebih kuat dan untuk pemanduan lebih baik.
Seperti yang dinyatakan, kerusi belakang ditanggal dan diganti dua kerusi individu dan lengkap bersama bantal yang selesa.
Rekaan dan kontur kerusi seperti mengalu-alukan penumpang untuk bersandar dan melelapkan mata sepanjang perjalanan menuju ke destinasi.
Bukan setakat itu, seperti kenderaan mewah lain, EX90 Excellence dilengkapi peti sejuk di antara kedua-dua kerusi dan muat untuk menyimpan sebuah botol besar.
Pada bahagian perehat tangan bukan setakat ada slot untuk cawan, Volvo menyediakan panel sentuh yang direka minimalis.
Di situ penumpang boleh mengawal tiga laras pemanasan kerusi dan lima aras urutan.
Ada lagi, dari gambar boleh dilihat sebuah kristal Orrefors dan berfungsi sebagai suis penyembur wangian dengan tiga jenis berbeza.
Deria visual penumpang dihidangkan pula dengan lampu mood kabin. Bukan setakat mewah, bahan yang digunakan untuk bahagian dalam diberi perhatian khusus.
Volvo menggunakan campuran wul yang terdiri daripada fabrik yang mempunyai pensijilan dengan standard kelestarian yang ketat merangkumi kebajikan haiwan, alam sekitar dan isu sosial.
Satu lagi bahan yang digunakan ialah Nordico yang dibuat dari tekstil dari bahan kitar semula seperti botol PET dan bahan yang disumber dari hutan di Sweden dan Finland.
Dari segi teknologi, EX90 Excellence ibarat komputer canggih yang bergerak dan sama seperti telefon pintar, EX90 Excellence direka untuk sentiasa bertambah baik.
Volvo menyediakan program kemas kini perisian melalui sambungan over-the-air (OTA) secara kerap.
Skrin tengah yang disediakan berukuran 14.5 inci untuk sistem maklumat hibur dan mempunyai sambungan 5G.
Halwa telinga disajikan sistem audio Bowers & Wilkins High Fidelity dengan Dolby Atmos dan model Volvo pertama yang menawarkan sistem bunyi sekeliling 3D.
Sistem itu ditala khas untuk bahagian dalam EX90 Excellence dan penumpang turut dihiburkan melalui pembesar suara pada penyandar kepala.
Sebagai sebuah SUV elektrik, EX90 Excellence digerakkan dua motor dan pacuan semua roda dan boleh dipandu sejauh 650 kilometer mengikut standard CLTC.
BACA >>> APAKAH MAKSUD HURUF XC PADA MODEL SUV VOLVO?
BACA >>> VOLVO C40, SUV KOMPAK ELEKTRIK DENGAN REKAAN COUPE. 450KM UNTUK SEKALI CAJ
BACA >>> APA YANG PERLU DISERVIS KALAU ANDA MEMILIKI VOLVO XC40 RECHARGE?













